Hamzah sedia saman pemfitnah

Hamzah sedia saman pemfitnah

HAMZAH Zainudin semasa berceramah di Ppakat Pertahan Kelantan : Pas Pilihanku dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan sebentar tadi-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARULZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang memfitnah beliau menerima dana judi.

Hamzah berkata, selain judi beliau turut berdepan fitnah tidak membayar cukai kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurutnya, beliau tidak gentar untuk berbuat demikian kerana berada di landasan yang benar.

“Saya akan saman siapa yang buat fitnah itu. Fitnah tersebut menyebabkan pejabat saya telah ‘diserang’ oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mencari bukti menyimpan duit judi.

“Bagaimanapun, pemeriksaan yang dilakukan mendapati tiada wang tersebut ditemui. Selepas itu timbul satu lagi fitnah tak bayar cukai,” katanya semasa berceramah di Ppakat Pertahan Kelantan : Pas Pilihanku dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.

Hamzah memberitahu, sebelum terlibat dengan politik beliau merupakan seorang ahli perniagaan dan Ahli Parlimen bermula 2008.

Katanya, susulan itu beliau telah mengarahkan pegawainya untuk mengutip semua data berkait dengan perkara itu.

“Akhirnya kita berjaya selesaikan perkara itu dengan LHDN dan SPRM,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan, kediaman Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dikatakan telah diserbu LHDN Selasa lalu bagi membantu siasatan kes cukai yang didakwa tidak dilaporkan.

Bagaimanapun, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang menafikan kediamannya telah diserbu dan mendakwa ia merupakan fitnah yang ditujukan terhadap beliau menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN