KULIM: Hasrat seorang pemandu lori untuk menikmati buah nangka tidak kesampaian apabila dia rentung dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kulim-Baling, di sini semalam.
Menurut Noor Wahidah Abdul Halim, 29, kakak kepada arwah Abdul Muslim, 27, yang maut dalam kemalangan itu, arwah adiknya berkata demikian ketika singgah di rumah seorang lagi adiknya, Saidatul Adni, 28, di Kampung Keladi, pagi semalam.
Katanya, arwah adiknya singgah untuk berehat selepas mengambil barang untuk dibawa ke rumah baru mereka di Kupang, Baling.
“Arwah baru pindah ke Kupang dan sering pulang ke rumah lama untuk memindahkan barangan. Saidatul Adni memberi cadangan meminta arwah bersama keluarganya berehat dahulu di rumahnya.
“Namun, arwah menolak kerana ada hal dan ketika hendak menaiki keretanya, arwah adik terlihat sebatang pokok nangka berhampiran rumah Saidatul Adni yang sudah berputik. Dia berpesan supaya tinggalkan sedikit buah nangka itu untuknya bila sudah masak nanti,” katanya ketika ditemui semalam.
Dalam kemalangan itu, Abdul Muslim yang memandu kereta jenis Proton Iswara Aeroback maut di tempat kejadian akibat tersepit sebelum kereta itu terbakar, sementara isteri serta dua anaknya berjaya diselamatkan oleh orang ramai.
Noor Wahidah memberitahu, dia bertemu arwah kali terakhir pada Hari Raya Aidilfitri lalu ketika mereka sekeluarga berkumpul di kampung mereka di Gerik, Perak.
Katanya, arwah yang bekerja sebagai pemandu lori barangan kitar semula tidak menunjukkan sebarang petanda pelik dan dia seorang yang ceria serta baik dengan adik-beradik yang lain.
Sementara itu, adik iparnya, Umi Kalsom Md. Daud, 28, masih dirawat di Hospital Kulim, namun, sudah dipindahkan ke wad biasa, sementara anak sulung mereka, Noorain Zulaika, 4, juga kini ditempatkan ke wad kanak-kanak untuk rawatan lanjut.
“Namun, anak bongsu mereka, Muhammad Aqil Zariff yang berusia tiga tahun terpaksa dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh disebabkan bacaan kandungan oksigen dalam badannya merosot.
“Kami sekeluarga reda dengan kejadian ini dan berdoa agar roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan berharap anak serta isteri arwah segera sembuh,” ujarnya.-UTUSAN
*pix dalam sistem foto