Guna kenaf hasilkan produk makanan ternakan

Guna kenaf hasilkan produk makanan ternakan

WAN Abdul Rahim Wan Abdullah (dua dari kanan) menunjukkan poster Pelaksanaan Penguatkuasaan semasa sidang media di Pejabat Lembaga Kenaf Dan Tembakau Negara, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) mempelbagaikan lagi hasil daripada tanaman kenaf dengan menghasilkan produk makanan untuk haiwan ternakan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber import pada masa akan datang.

Pengerusinya, Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah berkata, penghasilan yang menggunakan bahagian pucuk kenaf itu mampu dijadikan sebagai makanan segar, silaj dan pelet sesuai yang sesuai untuk ternakan seperti kambing dan lembu.

Menurutnya, sebagai permulaan sebanyak 30 hektar tanah di negeri ini sudah diusahakan dengan tanaman itu membabitkan 200 petani bagi menghasilkan makanan ternakan berasaskan kenaf.

“Proses ini menggunakan pokok kenaf yang berusia 30 sehingga 35 hari dan keluasan maksimum kawasan tanaman  bagi proses berkenaan adalah  lima hektar setahun.

“Aktiviti penuaian tanaman menggunakan jentera, sabit dan pemotong rumput. Penuaian dan pemprosesan bahan mentah untuk pengeluaran makanan ternakan dijalankan di premis yang sesuai berdekatan kawasan tanaman,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan dan Sesi Ramah Mesra bersama Ahli Pengurusan di Ibu Pejabat LKTN, di sini, hari ini.

Wan Abdul Rahim memberitahu, program tersebut mampu menampung keperluan dan memberi nilai tambah kepada bekalan makanan ternakan negara selain dapat meneroka potensi produk pertanian serta industri asas tani bernilai tinggi.

Katanya, kenaf adalah tanaman berprotein tinggi dan mudah dihadam oleh ternakan selain memberi jaminan makanan yang berkhasiat, berkualiti serta selamat.

“Program ini turut memberikan pendapatan tambahan kepada penanam kenaf serta menepati konsep ‘tiada bahan terbuang’ dalam pengurusan pemprosesan hasil kenaf,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Wan Abd Rahim memberitahu LKTN menyasarkan penanaman kenaf seluas 2,500 hektar dalam tempoh tiga tahun membabitkan sasaran hasil pengeluaran sebanyak 25,000 tan.

“Hasil pengeluaran itu membabitkan pekebun kecil, syarikat swasta serta koperasi yang mana dikawal selia LKTN melalui kerjasama strategik awam dan swasta  melalui pembangunan ladang kluster.

“Dalam usaha tersebut, LKTN turut membangunkan industri kenaf di Wilayah Sabah dan Sarawak pada tahun ini dengan keluasan 100 hektar tanah bagi menjayakan sasaran ditetapkan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya