BALING: Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menganggap gelombang hijau masih bersama gabungan itu untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, aura yang bermula sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November lalu belum surut malah meningkat.
Menurut beliau, perkembangan tersebut menjadi persediaan buat PN untuk menang dan sekali gus mentadbir enam negeri yang bakal terlibat dalam PRN termasuk Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Bersedia untuk menang apa salahnya, kalau belum menang cuba lagi. Mana ada orang bersiap nak bertanding untuk kalah, bersiap bertanding mestilah untuk menang.
“Gelombang PRU15 masih bersama PN dan saya rasa makin meningkat sebab dulu orang tak tau prestasi (Kerajaan Perpaduan).
“Sekarang orang tengok prestasi sangat mendukacitakan, maka orang sambung dengan gelombang sedia ada,” katanya selepas Majlis Penyerahan Geran dan Kunci Rumah Kepada Mangsa Banjir Aliran Puing di Keda Kampung Sadek, Kupang semalam.
Muhammad Sanusi turut menyifatkan tindak-tanduk yang dilakukan oleh sebahagian menteri ketika ini mencerminkan prestasi yang boleh dinilai sendiri rakyat.
“Ada orang pi naik lembu jadi menteri, masalah tak selesai tapi pi naik lembu. Jadi pemimpin, menteri jangan buat kerja macam itu (hingga) ditertawakan, itulah prestasinya,” katanya.
Ditanya tentang agihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang belum selesai, Muhammad Sanusi menegaskan enggan mencampuri perkara itu.
“Itu masalah rumah tangga depa, tak mau komen apa hampa selesai pi la. Susah memang susah dengan keadaan politik sekarang ini. Kita punya pola politik tak macam dulu dah.
“Setiap hari ada pergerakan yang berlaku dan perlu diawasi (sehinggakan) ada orang pi makan sekali pun ada orang susah hati.
“Politik semua melibatkan pergerakan. Diam pun politik, cakap pun politik. Depa kata kami tak mau terlibat politik nak duk diam saja, sebenarnya diam itu pun berpolitik juga,” katanya.- UTUSAN