KANGAR: Perlawanan futsal santai empat penjuru yang julung kali diadakan antara Persatuan Wartawan Perlis (PWP) dengan Pemuda UMNO Bahagian Arau, Kangar dan Padang Besar berlangsung meriah di Arena Futsal di sini, malam tadi.
Perlawanan yang bermula pada pukul 9 malam sehingga 11.30 malam itu menyaksikan pasukan Pemuda UMNO Arau mengunguli tempat pertama dengan tiga kemenangan dan satu seri diikuti Pemuda UMNO Kangar di tempat kedua.
Pemuda UMNO Padang Besar dan PWP masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat dalam aksi membabitkan semua pasukan yang cukup bersemangat.
Perlawanan tersebut turut disertai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau, Abdul Azim Abdullah; Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kangar, Saiful Fariddil Jasmi dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Padang Besar, Abdul Razak Abdul Rahim.
Saiful Fariddil yang juga Ketua Pemuda UMNO negeri berkata, aktiviti futsal tersebut mengeratkan hubungan antara pergerakan pemuda UMNO negeri dengan pengamal media.
Katanya, perlawanan secara santai tersebut mendapat sambutan cukup memberangsangkan dengan penyertaaan
dalam kalangan anak-anak muda dari pergerakan pemuda di tiga bahagian itu.
“Insya-Allah aktiviti seperti ini akan diadakan lagi bersama pihak media Perlis pada masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Azim berkata, aktiviti sukan yang diadakan ini memberi manfaat kepada anak-anak muda selain bertujuan mengeratkan hubungan silatulrahim sesama pemuda di bahagian berkenaan.-UTUSAN