Felda Bukit Ramun jadi perintis tanaman nanas secara sulaman - Utusan Malaysia

Felda Bukit Ramun jadi perintis tanaman nanas secara sulaman

SHEIKH OMAR BAGHARIB ALI (kanan) melihat benih nanas MD2 yang diberikan kepada komuniti Felda Bukit Ramun, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Peneroka Felda Bukit Ramun di sini menjadi perintis bagi pelaksanaan tanaman nanas secara sulaman bagi membantu mendapatkan hasil apabila program tanaman semula sawit dilaksanakan tahun depan.

Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Sheikh Omar Bagharib Ali berkata, sebanyak 5,000 benih nanas MD2 diagihkan kepada komuniti di Felda berkenaan bagi menjayakan hasrat tersebut. 

“Hari ini kita melaksanakan pilot test bagi para peneroka untuk cuba menanam benih MD2 ini. Idea kita adalah tanaman sawit apabila ditanam semula dalam tempoh tiga hingga empat tahun pertama kita sulamkan dengan nanas MD2. 

“Ini akan dapat menambah hasil kepada peneroka yang ada di Felda ini dan insya-Allah projek ini baik dan jika berjaya, maka kita akan perluaskannya ke tempat lain.

“Ini juga merupakan pilot test,  namun mungkin sebelum ini ada orang pernah lakukan, tetapi bukan secara terbuka melibatkan komuniti yang besar,” katanya selepas melancarkan Tanaman Nanas MD2 Komuniti Felda Bukit Ramun di Dewan Terbuka Felda Bukit Ramun, dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi NGO Gerak Tani, Datuk Mazlan Aliman berkata, antara sebab utama pihaknya mempelopori usaha itu kerana  tanah terhad untuk tanaman nanas, namun dalam masa sama dapat melihat potensi sedia ada yang begitu banyak dengan melibatkan peneroka. 

“Jadi kita mencadangkan supaya kawasan Felda dipilih, terutamanya macam Felda Bukit Ramun ini. Pada tahun depan pokok sawit akan mula ditebang, bayangkan setiap pengusaha, kos untuk tanam semula anggarannya RM150,000. 

“Bila mereka hendak habiskan hutang untuk tanaman semula itu? Hari ini kita bawakan sekali selain daripada LPNM adalah Kulim Pineapple dan mereka berminat untuk mendapatkan tanah berskala besar.

“Apabila Kulim boleh terlibat dalam sejumlah tanah yang luas, kalau kita letakkan lima tahun bagi tanaman semula mungkin kira-kira tiga kali musim peneroka boleh tanam nanas,” katanya. 

Sekiranya projek berkenaan berjaya beliau juga akan mencadangkan kepada kerajaan supaya tanah Felda yang terlibat dalam penanaman semula dimanfaatkan dengan cara tersebut bagi mengurangkan beban hutang kepada peneroka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya