KUCHING: Fasiliti dan pengurusan sekolah yang teratur serta kualiti kepemimpinan sekolah dilihat membantu meningkatkan pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Sarawak.
Pengarah Kementerian Pendidikan Negeri Sarawak, Datuk Dr. Azhar Ahmad berkata, kemudahan lengkap yang disediakan untuk para pelajar mengikuti sesi pembelajaran adalah perkara utama pencapaian berkenaan.
“Ini menjadi satu perjuangan yang berterusan kepada kita di negeri Sarawak khususnya untuk kita merapatkan jurang pencapaian kualiti pendidikan secara keseluruhannya untuk sekolah-sekolah yang berada di bandar dan di luar bandar serta di peringkat kita sememangnya sudah mengatur strategi yang berterusan untuk mengatasi masalah ini.
“Dalam pendidikan ini, kita ada banyak faktor yang menjadi penyumbang kepada kemenjadian dan kejayaan pelajar terutama sekali dari segi kepimpinan, pengurusan sekolah dari segi kualiti guru dan juga fasiliti-fasiliti di sekolah berkenaan” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road di sini hari ini.
Dalam pengumuman tersebut, Azhar mendedahkan pencapaian Gred Purata Negeri Sarawak calon SPM 2022 adalah 5.07 berbanding 5.17 pada tahun 2021 iaitu perbezaan sebanyak 0.10 mata.
“Daripada 32,810 calon yang menduduki peperiksaan SPM, seramai 684 calon (2.08 peratus) memperoleh keputusan cemerlang (gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran berbanding 596 calon (1.80 peratus) pada tahun 2021.
“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.28 peratus manakala bilangan calon yang memperoleh sekurang-kurang kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran adalah seramai 5,480 calon (16,70 peratus) pada tahun 2022 berbanding 4,960 calon (15.01 peratus) pada tahun 2021 dengan peningkatan sebanyak 1.69 peratus.
“Sementara itu, seramai 12,464 calon (37.99 peratus) lagi memperoleh sekurang-kurangnya lulus semua mata pelajaran yang diduduki pada tahun 2022, berbanding 12,547 calon (37.98%) pada tahun 2021 sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 0.01 peratus berbanding tahun 2021,” tambahnya.
Dalam hal yang sama, beliau turut mengumumkan prestasi SPM tahun 2022 berbanding SPM tahun 2021 menunjukkan peningkatan dan penurunan bagi beberapa mata pelajaran.
“Sebanyak 38 daripada 78 mata pelajaran mencatatkan peningkatan manakala 34 mata pelajaran mencatatkan penurunan. Sementara itu, enam mata pelajaran menunjukkan prestasi tidak berubah atau kekal.
“Peratusan calon yang layak menerima sijil SPM tahun 2022 juga menunjukkan peningkatan iaitu daripada 88.29 peratus kepada 91.22 peratus. Peningkatan ini adalah sebanyak 2.93 peratus,” katanya.
Untuk rekod, seramai 132 orang Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK), iaitu dalam kalangan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) telah menduduki peperiksaan SPM tahun 2022. Berdasarkan jumlah tersebut, sebanyak 56.06 peratus CBPK layak memperoleh sijil SPM tahun 2022. -UTUSAN