Facebooker suka kitar semula isu-Mohd. Amar

Facebooker suka kitar semula isu – Mohd. Amar

MOHD. Amar Nik Abdullah (tiga dari kiri) menyempurnakan gimik pelancaran Hari Sayyidatina Khadijah di PUTIK, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan hari ini.-UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyifatkan 90 peratus isu melibatkan negeri ini yang ditulis oleh Facebooker dikitar semula dengan tujuan meraih perhatian serta mencari publisiti murahan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, hasil pemerhatian yang dibuat mendapati semua isu yang dibangkitkan itu sudah dijawab dengan jelas sama ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau melalui penjelasan dibuat oleh beliau.

Menurutnya, malah sebahagian daripada masalah tersebut sudah diselesaikan oleh kerajaan negeri.

“Kita di pihak kerajaan negeri tidak terkesan dengan apa yang dilakukan oleh golongan berkenaan. Kebanyakan penulisan berkaitan isu-isu membabitkan kerajaan negeri di media sosial diberikan perspektif negatif walaupun sesetengahnya mempunyai fakta yang betul.

“Kebanyakan yang menulis itu tidak tahu cerita sebenar dan cuma mahu menonjolkan perkara negatif untuk memburuk-burukkan kerajaan negeri. Contohnya isu Lembah Sireh. Sedangkan bila dilihat dari sudut positif, ia tidak membawa apa-apa kesan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Hari Sayyidatina Khadijah di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan di Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pancor itu memberitahu, ketika sedang menghampiri Pilihan Raya Negeri (PRN) sebahagian individu terlibat disifatkan tidak mempunyai kerja dan gemar mengutip apa sahaja serta menulisnya dengan perspektif negatif bertujuan memburukkan imej kerajaan negeri.

Mengulas mengenai penyebaran maklumat sulit berkait dengan Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) baru-baru ini, Mohd. Amar berkata, laporan polis yang dibuat oleh agensi berkenaan berkait dengan pelanggaran undang-undang terutama kebocoran rahsia kerajaan yang tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi.

“Isu sebenarnya adalah pelanggaran Akta Rahsia Rasmi yang terpakai di peringkat negeri dan persekutuan. Sebagai penjawat awam kita perlu patuhi peraturan ini dan tahu di mana had kita.

“Kita tiada niat mahu menutup kelemahan kerajaan negeri kerana pada akhirnya ia akan tetap didedahkan melalui laporan audit setiap tahun. Laporan polis bukan bertujuan menyekat maklumat tetapi lebih menjurus kepada perkara berkaitan peraturan dan undang-undang,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya