Elak ada pihak menangguk di air keruh - Utusan Malaysia

Elak ada pihak menangguk di air keruh

ABD GAPAR LAMBAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) berharap pengumumkan kerajaan untuk membantu kontraktor menerusi pelaksanaan Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) dan memberi kelonggaran kaedah perolehan bagi semua projek penyelenggaraan serta pembaikan kecil dilaksanakan segera agar hasrat murni itu tercapai.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden PKMM, Abd. Gapar Lambak berkata, pihaknya berharap agar semua projek itu diagihkan secara melata dan melalui cabutan undi dengan harapan tiada pihak menangguk di air keruh.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pengumuman memberi peluang membantu golongan kontraktor kecil yang terjejas ketika ini.

“PKMM berharap agar ia dipantau oleh jawatankuasa khas dengan teliti agar peruntukan ini berjaya dilaksanakan secara kolektif dan bermanfaat.

“Bagi membantu memantau pelaksanaan projek penyelenggaraan dan pembaikan kecil memenuhi objektif yang ditetapkan, diharap PKMM turut dilibatkan sebagai ahli jawatankuasa pemantauan memandangkan lebih 27,000 kontraktor tulen G1 hingga G7 terdiri dalam kalangan ahli PKMM,” katanya di sini semalam.

Baru-baru ini, Perdana Menteri dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju memberi kelonggaran kaedah perolehan bagi semua projek penyelenggaraan dan pembaikan kecil yang dilaksanakan oleh semua kementerian atau agensi pengguna sehingga ke peringkat negeri dan daerah.

Had nilai sebut harga perolehan kerja ditingkatkan kepada RM1 juta daripada RM500,000. Selain itu, had perolehan secara cabut undi ditingkatkan kepada RM200,000 daripada RM100,000.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan kemudahan pembiayaan kepada kontraktor bagi meningkatkan penglibatan kontraktor kecil dari pelbagai kelas untuk sama-sama terlibat dalam melaksanakan projek berskala kecil.

Dalam pada itu, Abd. Gapar yang juga Yang Dipertua PKMM Pahang berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan atas arahan cabutan undi projek penyelenggaraan jalan persekutuan oleh syarikat konsesi, Roadcare (M) Sdn. Bhd. (Roadcare).

“Roadcare lebih mesra kontraktor dengan sering melaksanakan pengagihan projek-projek melalui kaedah cabutan undi kepada kontraktor bumiputera G1 hingga G4 yang mana semua kontraktor berpeluang turut serta termasuk ahli-ahli persatuan,” katanya.

Menurutnya, PKMM berharap agar kaedah cabutan undi yang mesra kontraktor ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan dengan penambahbaikkan dari semasa ke semasa dan ia dicontohi oleh syarikat konsesi lain bagi projek persekutuan.

“Kami juga berharap agar semua syarikat konsesi lebih telus dalam pengagihan, penawaran dan pelaksanaan projek supaya kontraktor kecil dapat dilibatkan dalam projek-projek dari konsesi secara lebih menyeluruh pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya