eBeliaRahmah: Muda persoal mengapa pelajar IPG dianaktiri

eBeliaRahmah: Muda persoal mengapa pelajar IPG dianaktiri

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) hari ini mempersoalkan mengapa pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) dianaktirikan daripada mendapat manfaat inisiatif eBeliaRahmah yang diperuntukkan bermula hari ini. 

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan perkara itu tidak adil, sedangkan mereka juga pelajar sepenuh masa sama seperti penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang lain. 

“Alhamdulillah, selepas lebih setengah tahun menunggu. Akhirnya ebelia dikreditkan. 

“Tapi, kenapa pelajar IPG ditinggalkan? Mereka ini pelajar sepenuh masa juga. Bakal cikgu! 

“Pelajar lain semua dapat. Tak kira kaya dan miskin, di IPTA & IPTS, Kenapa mereka dianaktirikan lagi?,” soalnya dalam satu hantaran di Twitter, hari ini. 

Dalam hantaran sama, Ahli Parlimen Muar itu turut memuat naik tangkap layar dipercayai daripada seorang penuntut IPG yang kecewa selepas permohonannya untuk menuntut eBeliaRahmah tidak berjaya. 

Sebelum ini, Utusan Online melaporkan, kerajaan memperuntukkan RM400 juta bagi program eBeliaRahmah di bawah Belanjawan 2023 yang akan memanfaatkan seramai dua juta belia yang layak.

Belia berumur 18 hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa di IPT boleh mula mendaftar dan menuntut kredit berjumlah RM200 melalui pelbagai platform e-Dompet mulai hari ini sehingga 22 Ogos nanti.

Kredit eBeliaRahmah serta manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat pula boleh dibelanjakan secara ‘offline’ sehingga 31 Ogos. 

Dalam hantaran lain, Syed Saddiq menyifatkan, elaun yang diperoleh pelajar IPG tidak sepatutnya dijadikan satu alasan untuk menganaktirikan golongan tersebut dalam menerima eBeliaRahmah. 

“Cukup cukup la menganaktirikan bakal cikgu dengan hujah ini. Pelajar biasiswa atau elaun lain pun dapat. Anak orang kaya pun dapat. Berlaku adil kepada semua bakal guru kita!,” katanya. 

Beliau berkata demikian bagi membalas komen seorang warga net yang mempersoalkan pelajar IPG sudah mempunyai elaun. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya