JOHOR BAHRU: Sekumpuñan penuntut yang menjadi Duta Mahasiswa Johor Kumpulan Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) berjaya menerbitkan buku antologi gurindam berjudul Gurindam Nurani.
Buku tersebut dihasilkan daripada bait-bait puitis yang dikumpul dan dikarang dalam bentuk gurindam dan syair.
Penyelia Projek, Norhaida Ahmad berkata, kesemua penulisan yang bertemakan puisi Melayu Tradisional: Membina Jati Diri Bangsa itu ditulis oleh sekumpulan penuntut kolej berkenaan.
“Istimewanya buku Gurindam Nurani ini adalah hasil karangan para penuntut kolej sendiri yang mengikuti bengkel penulisan gurindam.
“Ia bermula dengan bengkel penulisan, pengumpulan karya, semakan dan penyelenggaraan karya dan sehingga terbitnya buku ini,” katanya kepada Utusan Malaysia pada majlis pelancaran buku tersebut di Perpustakaan Sultan Ismail, Larkin, di sini hari ini.
Norhaida memberitahu, projek tersebut hasil kerjasama pihaknya dengan Persatuan Penulis Johor (PPJ).
Buku tersebut dilancarkan oleh Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr Kassim Thukiman. – UTUSAN