DUN Negeri Sembilan bubar 1 Julai - Utusan Malaysia

DUN Negeri Sembilan bubar 1 Julai

AMINUDDIN Harun menunjukkan watikah pembubaran DUN Negeri Sembilan dalam sidang akhbar di Wisma Negeri, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 akan dibubarkan pada 1 Julai ini bagi memberi ruang Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tarikh pembubaran DUN itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir ketika beliau menghadap baginda di Istana Hinggap di sini pagi tadi.

“Alhamdulillah, Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah berkenan tarikh pembubaran DUN Negeri Sembilan iaitu pada 1 Julai 2023. 

“Ini adalah selaras dengan kuasa yang diperuntukan di bawah Ceraian (2) Fasal 56, bahagian Yang Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Negeri di sini hari ini.

Aminuddin menambah, sehubungan itu beliau memohon pihak pejabat Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan menyegerakan pemakluman rasmi tarikh pembubaran berkenaan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Ia bagi memberi ruang PRN diadakan serentak dengan lima DUN yang lain,” kata beliau lagi.

Sementara itu, beliau memberitahu, susulan pembubaran berkenaan, pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan akan berfungsi sebagai kerajaan interim atau caretaker.

“Segala fungsi kerajaan negeri akan terus beroperasi seperti biasa bagi memastikan sistem perkhidmatan kerajaan kekal efisien, katanya.

Aminuddin dalam pada itu berterima kasih kepada rakyat Negeri Sembilan yang telah memberikan mandat kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) pilihan raya umum yang lalu bagi mentadbir negeri ini.

“Bagi pihak pimpinan kerajaan negeri, saya berterima kasih terutamanya rakyat yang telah memberikan mandat pada pilihan raya yang lepas, Alhamdulillah ia akan tamat pada 1 Julai ini.

“Tempoh lima tahun ini, kami telah gunakan bagi memastikan bahawa pembangunan negeri dilaksanakan dan membantu masyarakat dengan bersungguh-sungguh serta memastikan apa yang dikatakan dapat dikotakan,” katanya.

AMINUDDIN Harun dalam sidang akhbar di Wisma Negeri, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018, Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 20 daripada 36 kerusi DUN. Baki 16 kerusi lagi dimenangi oleh Barisan Nasional (BN).

Selain Negeri Sembilan, lima buah negeri lain juga akan mengadakan PRN tidak lama lagi iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

DUN Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu bubar pada hari ini manakala DUN Kelantan dan Selangor terlebih dahulu telah dibubarkan iaitu pada 22 Jun dan 23 Jun yang lalu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya