ALOR SETAR: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah bagi penggal ke-14 dibubarkan secara rasmi pada 28 Jun ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) bersama lima negeri lain iaitu Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tarikh pembubaran tersebut diperkenan oleh Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, pentadbiran negeri Kedah akan dijalankan oleh kerajaan interim bermula dari tarikh tersebut.
“Segala fungsi kerajaan akan berlangsung seperti biasa hingga kerajaan negeri baharu dibentuk selepas PRN. Saya mendapat garis panduan daripada Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Nik Azhan Hakim Nik Mahmood yang akan dilaksanakan kerajaan interim tersebut.
“Masih ada mesyuarat exco untuk meluluskan perkara-perkara penting. Bagaimanapun, sebarang kelulusan melibatkan dasar mahu pun kewangan yang tidak diluluskan dalam belanjawan sebelum ini, tak boleh dilaksanakan.
“Apa yang ada selepas pembubaran ini adalah pelaksanaan kerja-kerja rutin melibatkan perkara yang telah diluluskan dalam DUN atau mesyuarat exco sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau tiba kira-kira pukul 10.22 pagi ke bangunan pentadbiran negeri tersebut untuk mengadap Sultan Sallehuddin yang tiba empat minit kemudian bagi mendapatkan perkenan mengenai tarikh pembubaran DUN tersebut.
Beliau memaklumkan dalam sesi mengadap itu, baginda ada menasihatkan agar segala perkara dipastikan mengikut undang-undang tubuh negeri.
Mengimbas perjalanan pentadbirannya sejak mengambil alih kerajaan negeri pada 17 Mei 2020, Muhammad Sanusi menyifatkan segalanya berjalan baik meskipun beliau diberi tanggungjawab mengemudi kerajaan dalam keadaan negara dilanda pandemik Covid-19.
Dalam tempoh itu juga katanya, pentadbiran tersebut diuji dengan dua bencana alam yang dahsyat iaitu kejadian kepala air di Yan dan banjir aliran puing di Kampung Iboi, Baling.
Katanya, kelancaran menghadapi ujian-ujian itu mungkin tidak akan dicapai jika bukan kerana keprihatinan dan sifat mengambil berat Sultan Sallehuddin; Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff serta Raja Muda, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin yang sering mengambil tahu, memberi nasihat serta peringatan untuk memastikan nasib dan kehidupan rakyat sentiasa diberi keutamaan.
“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pembangkang yang telah melengkapkan konsep demokrasi berparlimen dalam pemerintahan negeri ini.
“Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada seluruh rakyat Kedah yang memberi sokongan terhadap kerajaan negeri dalam setiap usaha dilakukan,” katanya.-UTUSAN