KUALA LUMPUR: Terdapat peningkatan ketara iaitu sehingga 305 peratus bagi penggunaan Mass Rapid Transit (MRT) laluan Putrajaya dengan pembukaan Fasa 1 iaitu stesen Kwasa Damansara ke stesen Kampung Batu pada pertengahan Jun baru-baru ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan komited untuk terus meningkatkan jumlah pengguna rel dalam dan antara bandar bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang menjadi antara masalah utama rakyat dalam bandar.
“Perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya (MRT2) bermula dengan pembukaan Fasa 1 iaitu dari stesen Kwasa Damansara ke Stesen Kampung Batu pada 16 Jun 2022 diikuti dengan Fasa 2 pada 16 Mac 2023.
“Berdasarkan pemantauan kementerian ini, purata perjalanan penumpang harian iaitu pada hari bekerja meningkat sebanyak 305 peratus iaitu daripada 23,000 perjalanan penumpang dalam Fasa 1 kepada 93,000 perjalanan penumpang sehari dalam Fasa 2.
“Secara keseluruhan, jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan Rapid Rail termasuk Laluan Ampang, Laluan Kelana Jaya, Laluan Monorail, Laluan MRT Kajang dan MRT Putrajaya mencatatkan peningkatan yang ketara sejak Jan 2023.
Tambah Anthony, pada bulan Jun 2023, purata perjalanan penumpang untuk hari bekerja adalah seramai 746,000 berbanding 613,000 pada bulan Januari 2023.
“Komitmen kerajaan untuk menggalakkan penggunaan MRT 2 dibuktikan melalui usaha RapidKL untuk menyediakan perkhidmatan bas perantara di sekitar Putrajaya yang melibatkan 5 laluan termasuklah laluan dari stesen MRT Putrajaya Sentral ke Presint 10, Presint 16, Presint 4, Presint 11 dan Ayer 8.
“Purata perjalanan penumpang harian yang direkodkan bagi lima laluan daripada bulan Mac 2023 sehingga 25 Jun 2023 adalah sejumlah 706 perjalanan penumpang dan dijangka akan terus meningkat berdasarkan trend penumpang pada masa kini.
“Purata Perjalanan Penumpang Harian bagi keseluruhan bas perantara bagi MRT Laluan Putrajaya (PYL) bagi tempoh yang sama ialah 7,959 perjalanan,” katanya.
Anthony menjelaskan perkara itu selepas soalan itu diajukan dalam sidang Dewan Negara oleh Senator Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya yang meminta kementerian menyatakan perancangan untuk mendorong lebih ramai pengguna laluan MRT Putrajaya yang menelan kos pembangunan sebanyak RM30.53 bilion untuk menggunakan perkhidmatan tersebut memandangkan kini ia masih belum berjaya mengurangkan kesesakan jalan raya di kawasan Putrajaya terutamanya waktu kemuncak ketika hari bekerja.-UTUSAN