KOTA BHARU: Pakatan Harapan (PH) Kelantan sedang menunggu ‘lampu hijau’ daripada kepimpinan tertinggi gabungan itu diperingkat pusat untuk menentukan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Pengerusinya, Muhamad Husain berkata, senarai pendek berkait dengan calon-calon yang akan bertanding di 14 kerusi di negeri ini sudah diserahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi PH.
“Ketika ini, kita hanya menunggu kelulusan dari pucuk pimpinan. Senarai nama calon yang dikemukakan kali ini merangkumi pelbagai latar belakang.
“Berpandukan kepada jumlah kehadiran semasa kunjungan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ke sini (Kelantan) baru-baru ini, saya lihat tahap sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan makin bertambah,” katanya selepas menjawab soalan pemberita berkait dengan persiapan PH Kelantan untuk menghadapi PRN tidak lama laggi.
Terdahulu, beliau hadir ke Majlis Penyerahan Nota Serah Tugas Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) antara beliau dengan Pengerusi sebelum ini, Datuk Kamarudin Md. Nor di Ibu Pejabat KADA di sini, hari ini.
Muhamad memberitahu, situasi meletakan PH bersama rakan sekutunya Barisan Nasional (BN) sedia memberikan tantangan sengit kepada Pas.
Katanya, gabungan PH dan BN mahu menambah bilangan kerusi untuk menjadi pembangkang yang kuat di negeri ini.-UTUSAN