Caj RM1 di klinik kerajaan antara perkara pembentangan Kertas Putih Kesihatan - Utusan Malaysia

Caj RM1 di klinik kerajaan antara perkara pembentangan Kertas Putih Kesihatan

DR. ZALIHA Mustafa (tengah) merasmikan Kajian Global Adult Tobacco Survey (GATS) 2023 di Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Caj kesihatan sebanyak RM1 yang dikenakan klinik kerajaan antara perkara yang bakal dibentangkan dalam Kertas Putih Kesihatan di Parlimen pada 13 Jun ini.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, setakat ini caj tersebut masih dikekalkan, namun, pihaknya akan mengetengahkan semua strategi kementerian termasuk mengenai perkara itu dalam pembentangan Kertas Putih Kesihatan berkenaan.

“Kami akan bentangkan nanti dalam Kertas Putih Kesihatan. (Semua) skim pembayaran kesihatan akan dilihat satu persatu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kajian Global Adult Tobacco Survey (GATS) 2023 di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan caj RM1 yang dikenakan klinik kesihatan kerajaan wajar dinaikkan kepada RM5 hingga RM20 kerana bayaran sedia ada disifatkan tidak masuk akal terutama ketika nilai kos rawatan semakin meningkat. 

Sementara itu, Zaliha berkata GATS 2023 merupakan suatu tinjauan isi rumah berkaitan penggunaan tembakau yang dijalankan di seluruh negara. 

Katanya tinjauan tersebut dijalankan oleh pihak Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat.

“Institut Kesihatan Umum (IKU) akan menjalankan GATS buat kali kedua di mana GATS pertama telah dijalankan pada 2011. Pengumpulan data akan dijalankan dari 12 Jun hingga 22 Julai ini,” katanya.

 Katanya, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 melaporkan 4.8 juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas adalah perokok aktif. 

Tambahnya, GATS bertujuan untuk mendapatkan maklumat terkini tentang penggunaan tembakau dan memantau keberkesanan intervensi kawalan tembakau. 

Tinjauan itu juga untuk mendapatkan data berkenaan peratus penggunaan tembakau, rokok elektronik dan produk tembakau yang dipanaskan, dan indikator-indikator utama kawalan tembakau lain. 

“Data terkini dan tren penggunaan tembakau daripada GATS 2023 akan membantu pihak Kementerian Kesihatan untuk memperkukuhkan strategi kawalan tembakau di negara ini.

 “Tinjauan ini akan melibatkan kira-kira 5,000 isi rumah yang dipilih secara rawak di seluruh negara dan menyasarkan individu berumur 15 tahun dan ke atas,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya