ARAFAH: Sikap keakuan hanya akan membawa kepada keburukan selain membuatkan seseorang itu sombong selagi ia tidak digantikan dengan rasa rendah diri dan sentiasa taat kepada perintah Allah SWT.
Sehubungan itu, umat Islam di Malaysia diingatkan supaya menjaga tatasusila dan keperibadian yang baik serta unggul dalam kehidupan seharian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, sikap keakuan atau berasa megah dengan diri sendiri yang bersarang di dalam diri perlu ditinggalkan Umat Islam di Malaysia.
Katanya, mereka sebaliknya perlu bersikap rendah diri antara satu sama lain dan menyerahkan sepenuh keabadian serta ketaatan kepada Allah SWT.
“Buangkan sifat takabur yang bersarang dalam diri. Jangan berasa diri kita lebih baik, lebih mulia dan lebih besar berbanding orang lain.
“Ingatlah bahawa sikap keakuan inilah yang telah mencampakkan iblis dan syaitan menjadi makhluk-Nya yang ingkar ketika disuruh untuk sujud kepada Nabi Adam AS,” katanya ketika menyampaikan khutbah hari Arafah di sini semalam.
Menurut Mohd. Na’im, dengan hanya memakai dua kain putih, ibadat haji mengajar erti menginsafi kekurangan dan kelemahan diri selain lambang kesamarataan di hadapan Allah SWT.
Tambahnya, harta, jawatan, rupa paras bukanlah kelebihan yang menjadi ukuran tetapi hanya ketaqwaan yang dilihat Allah SWT.
“Sekembalinya kita nanti, kita pulang dengan semangat baharu untuk terus istiqamah menjadi hamba-Nya yang bertakwa, dan menjalani lembaran hidup baharu yang suci dari dosa dan noda,” katanya.
Kerajaan Arab Saudi mengumumkan hari Wukuf yang merupakan kemuncak haji adalah pada hari ini, manakala Hari Raya Aidiladha disambut pada Rabu, 28 Jun.
Umat Islam di Malaysia pula akan menyambut Aidiladha esok. – UTUSAN