KOTA BHARU: Pengendali Kelantan FC Frank Bernhardt ‘hilang kata-kata’ selepas pasukannya dimalukan 1-4 oleh Kelantan United pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam tadi.
Tanpa berselindung, Bernhardt mengakui dia amat kecewa dengan prestasi buruk diperagakan oleh barisan pemainnya selepas dilihat terus mengulangi kesilapan sama pada setiap perlawanan.
“Saya tidak tahu apa nak dikatakan lagi. Setiap perlawanan dengan situasi sama. Bahagian pertahanan melakukan kesilapan besar dan bagi saya mereka terlalu lemah dan belum cukup bersedia untuk bersaing dalam Liga Super.
“Jentera serangan juga bermasalah. Pada perlawanan ini kita ada banyak peluang tetapi percubaan terkena tiang dua kali dan bila bola berada di atas garisan kita gagal menolaknya ke dalam gol. Malah Kita sering merembat kaki lawan ketika gol terbuka luas,” katanya pada sidang media selepas perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Jurulatih kelahiran Jerman itu memberitahu dia dan barisan kejurulatihan telah berusaha sebaik mungkin untuk mengubah situasi dan memperbaiki setiap kelemahan yang dikesan pada pasukan.
Katanya, barisan jurulatih turut menyediakan rakaman video, bertemu dan berbincang secara perseorangan atau berkumpulan dengan pemain untuk membangkitkan semangat motivasi.
“Kami telah melakukan segala-galanya tetapi apa yang sering saya dengar hanyalah ‘awak boleh’ dan ‘kami boleh’. Namun pada akhirnya mereka terus mengulangi kesilapan yang merugikan pasukan.
“Bagi saya prestasi paling bagus adalah ketika dibolosi tiga gol kerana pada perlawanan lain kita sering dibolosi sehingga empat ke lima gol dan bagi saya ini bukan sesuatu yang normal,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Bernhardt menegaskan beliau tidak boleh memberi sebarang komen berkenaan masa depannya bersama Kelantan FC dan menyerahkan segalanya kepada pihak pengurusan.
“Kesukaran situasi saya telah dirasai sejak lima hingga enam perlawanan lepas. Saya sudah memberikan yang terbaik setiap hari dan kini terpulanglah kepada pihak pengurusan.
“Apa yang boleh saya katakan sekarang ini adalah pasukan ini berada sangat jauh daripada kualiti yang diperlukan untuk bermain di Liga Super,” ujarnya.
Pada perlawanan itu, gol-gol kemenangan Kelantan United FC disumbangkan oleh Devid Silva (minit ke-21), Porteria (minit ke-25, 61) dan Syazwan Zainol (minit ke-66) sementara Ismaheel Akinade menghadiahkan jaringan sagu hati buat Kelantan FC sebelum tamat babak pertama.-UTUSAN