KOTA BHARU: Bekalan lembu untuk sambutan Aidiladha yang dijangka jatuh pada hujung bulan ini dijamin mencukupi bagi membolehkan umat Islam menjalankan ibadah korban.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, hasil tinjauan yang dilakukan pihaknya mendapati tidak timbul rungutan daripada orang ramai berkait dengan bekalan ternakan tersebut.
Menurutnya, pada masa sama harga lembu tidak terlalu tinggi sekali gus memberikan kelegaan kepada umat Islam untuk melaksanakan ibadah berkenaan.
“Saya boleh katakan setakat ini bekalan lembu berada dalam keadaan cukup. Harga tidak menentu dan kebiasaannya mengikut jumlah bekalan.
“Ketika ini ternakan daripada luar iaitu Myanmar dan Thailand banyak dibawa masuk. Kos untuk bawa dari sana itu yang menjadikan harga agak tinggi dan ia disebabkan oleh kos pengangkutan serta kurantin,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan tinjauan di Pusat Transformasi Luar Bandar (TRC) Tunjong, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Kota Raja itu memberitahu, kerajaan turut memberi jaminan bekalan bahan mentah lain mencukupi sepanjang perayaan Aidiladha nanti.
Katanya, rakyat diingatkan supaya tidak membuat pembelian panik menjelang sambutan tersebut.
Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, kerajaan memberikan peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta untuk menyediakan bilik sejuk beku di RTC Tunjong dalam usaha mengukuhkan bekalan makanan negara.
Katanya, bilik sejuk itu secara tidak langsung dapat ‘menyelamatkan’ stok makanan apabila berlaku lambakan hasil.
“Selain itu, sebanyak RM200,000 turut diberikan bagi menaik taraf medan pemborongan kuih tradisional yang terdapat di sini,” ujarnya.-UTUSAN