KOTA BHARU: Petani di kawasan selian Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) kembali mengusahakan tanaman padi untuk musim 1/2023 mengikut jadual selepas gangguan bekalan air akibat kemarau sebelum ini sudah kembali pulih seperti biasa.
Pengerusinya, Muhamad Husain berkata, hujan bukan sahaja membantu para petani malah rumah pam KADA di Kemubu, Kok Lanas, di sini sudah dapat kembali beroperasi sepenuhnya.
Menurutnya, situasi itu sekali gus memberikan kelegaan kepada KADA dan para petani untuk mengusahakan petak-petak sawah dengan sempurna bagi musim ini.
“Besar harapan saya agar para petani terus kekal fokus dan mengikut segala nasihat serta jadual yang telah dikeluarkan oleh KADA.
“Pada masa sama, KADA berharap hasil yang diperoleh pada musim 1/2023 lebih baik berbanding musim-musim sebelum ini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Nota Serah Tugas Pengerusi KADA antara beliau dengan Pengerusi sebelum ini iaitu Datuk Kamarudin Md. Nor di Ibu Pejabat KADA di sini hari ini.
Muhammad memberitahu, para petani turut diingatkan supaya tidak mengabaikan aspek keselamatan semasa berada di kawasan bendang terutama pada musim panas ketika ini dengan memakai pakaian berwarna cerah.
Katanya, langkah itu bagi mengelakkan mereka berdepan dengan serangan strok haba atau kelesuan haba.
Dalam perkembangan lain, Muhamad berkata, fokus utama beliau ketika ini untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi oleh para petani di Bachok dan Pasir Puteh.
Katanya, selain itu beliau mahu menjadikan KADA sebagai salah satu pengeluar sumber makanan negara pada masa hadapan.-UTUSAN