Bantu usaha pelihara, tanam semula pokok bakau di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Bantu usaha pelihara, tanam semula pokok bakau di Negeri Sembilan

SEBANYAK 100 anak pokok bakau ditanam di kawasan hutan bakau di Pantai Cermin, Port Dickson hari ini anjuran pihak Pertubuhan Kebajikan N9 Sayang bersempena Hari Lautan Sedunia 2023-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Semua pihak termasuk kerajaan, syarikat korporat dan orang ramai diseru untuk memberikan sokongan dalam usaha penanaman semula pokok bakau di kawasan-kawasan berisiko di negeri ini.

Pengarah Projek Program Sempena World Ocean Day 2023, Pertubuhan Kebajikan N9 Sayang, Noor Fadzli Shah berkata, usaha berkenaan bagi memelihara dan memulihara kawasan bakau dalam memastikan kelestarian biodiversiti ekosistem marin.

“Pada bulan Oktober 2020 satu kejadian tumpahan minyak mengakibatkan ancaman kemusnahan hutan paya bakau Pantai Cermin di Port Dickson. Kesan kemusnahan menyebabkan berlakunya kehilangan habitat dan ekologi semulajadi, hakisan tanah, pengurangan kawasan pembiakan sumber makanan dan banjir.

“Walaupun pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan mengesahkan tiada lagi kesan tumpahan minyak namun sehingga kini sangat sedikit penanaman semula telah dilakukan. 

“Kami berharap penanaman semula dan pemeliharaan bakau ini perlu dilakukan dengan segera bagi mengelakkan kesan yang tidak diingini berlaku,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

SEBAHAGIAN peserta dan sukarelawan yang terlibat dalam program penanaman anak pokok bakau dan pembersihan pantai di Pantai Cermin, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.

Noor Fadzli dalam pada itu memberitahu, dalam menyokong usaha berkenaan, pihaknya turut menganjurkan aktiviti menanam anak pokok bakau dan pembersihan pantai di Pantai Cermin di sini yang turut diadakan bersempena Hari Lautan Sedunia 2023.

“Kami menyasarkan sebanyak 5,000 batang anak pokok bakau ditanam di beberapa lokasi paya bakau di negeri ini  menjelang bulan Disember antaranya termasuk di Pantai Cermin, Lukut, Chuah serta Linggi yang terletak di kawasan sempadan Negeri Sembilan dan Melaka.

“Penanaman semula ini bakau ini perlu diteruskan termasuk dengan kerjasama dari syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Saya pasti pemuliharaan kawasan paya bakau ini dapat direalisasikan sepenuhnya dengan bantuan atau kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, NGO dan penduduk sekitar,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya