Baju jururawat tak ketat, ikut etika - Dr. Zaliha - Utusan Malaysia

Baju jururawat tak ketat, ikut etika – Dr. Zaliha

DR. ZALIHA MUSTAFA menerima replika kunci daripada Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) JKR, Ir. Badiozaman Ab. Khalik pada Majlis Penyerahan Projek Makmal Patologi, Klinik Kesihatan Palong Segamat dan Taman Ungku Tun Aminah di HSA, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pakaian jururawat hospital awam di negara ini mematuhi etika berpakaian penjawat awam.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa menegaskan, pakaian itu tidak ketat dan mematuhi syariah

Justeru, beliau tidak mahu isu berkenaan terus dibangkitkan khususnya ketika Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memberi tumpuan terhadap meningkatkan tahap perkhidmatan kesihatan di negara ini.

“Kalau tengok pakaian jururawat sekarang memang ada etika, bagi saya tiada masalah. Sebaliknya yang paling penting sekarang adalah kerajaan telah meluluskan pembentangan Kertas Putih Kesihatan.

“Itu lebih utama kerana ia membincangkan tentang penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, adalah penting untuk mereka faham bahawa kesihatan rakyat menjadi tumpuan kerajaan Persekutuan ketika ini,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Makmal Patologi Hospital Sultanah Aminah (HSA), Klinik Kesihatan Taman Ungku Tun Aminah dan Klinik Kesihatan Palong Timur di HSA, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohtar Pungut.

Pada 15 Jun lalu, Ahli Parlimen Kuantan,  Wan Razali Wan Nor mempersoalkan etika pemakaian jururawat wanita yang didakwa berpakaian ketat dan tidak patuh syariah. 

Ketika membahaskan usul Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat, beliau mendakwa, kebanyakan jururawat wanita yang berkhidmat di fasiliti kesihatan kerajaan berpakaian ketat sehingga menampakkan bentuk badan dan tidak selari dengan tuntutan Islam.

Sementara itu, Dr. Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang memberitahu, KKM akan memaklumkan pencapaian dan aspirasi kesihatan awam kepada rakyat menerusi strategi komunikasi yang diwujudkan.

“Saya tahu rakyat ramai kurang maklum tentang perkara ini (Kertas Putih Kesihatan), tetapi paling penting ia dah lulus dan kita akan sampaikan kepada rakyat agar mereka faham dan tahu kepentingan kesihatan,” katanya.

Ditanya sama ada kelulusan Kertas Putih Kesihatan itu membuktikan tidak berlaku ketirisan dalam pentadbiran kerajaan terdahulu, termasuk berkaitan pembelian vaksin ketika pandemik Covid-19, beliau mengakui perkara itu.

“Selesai, kes selesai, tidak berbangkit lagi (isu ketirisan pembelian vaksin semasa pandemik),” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya