PARLIMEN: Bahas laporan LKAN kecilkan tugas PAC - Utusan Malaysia

PARLIMEN: Bahas laporan LKAN kecilkan tugas PAC

RONALD KIANDEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembangkang berhujah bahawa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) merupakan badan yang bertanggungjawab dalam mengendalikan prosiding untuk menyemak Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Atas alasan itu, pembangkang berpendapat bahawa LKAN tidak sepatutnya dibahas dalam persidangan Dewan Rakyat kerana membenarkan ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang membahas laporan itu dianggap sebagai ‘mengecilkan’ tugas PAC. 

Ahli Parlimen Beluran dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dengan merujuk Perkara 77(1)(c) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat berkata, penyata kira-kira wang negara mengikut Perkara 107 Perlembagaan Persekutuan (LKAN) hendaklah diperiksa dan diambil tindakan oleh PAC. 

“23 tahun saya dalam Parlimen, PAC yang kendalikan prosiding untuk menyemak sebarang komen daripada LKAN. Ini tanggungjawab PAC membentuk prosiding, memanggil saksi, ketua setiausaha, pegawai-pegawai kementerian buat prosiding seperti yang ditegur LKAN. 

“Usul seperti ini menidakkan tugas PAC dan mengecilkan tugas mereka, saya setuju usul ini tidak patut diteruskan oleh kerajaan. 

“Kalau tiada usul rang undang-undang, angkat usul persendirian. Arau (Datuk Seri Shahidan Kassim banyak usul persendirian dalam aturan mesyuarat. Ini buka usul bercanggah pula dengan peraturan,” kata bekas Pengerusi PAC itu di Dewan Rakyat hari ini. 

Sementara itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga Pengerusi PAC berkata, beliau tidak melihat kewajaran supaya laporan itu dibentang dan timbul persoalan jika seseorang menteri yang perlu menjawab sesuatu isu secara khusus jika tetap dibahas dalam Dewan Rakyat.

“Kalau pun diputuskan menteri jawab siapakah yang sediakan jawapannya? Bukankah kita membebankan pegawai audit itu sendiri? Mereka tidak bertanggungjawab sediakan jawapan kepada menteri dan hanya laksanakan pengauditan. 

“Apa yang berlaku sebenarnya? Tidak pernah dibuat, tetapi hari ini Kerajaan Madani mahu laksana perkara tidak pernah dibuat selama ini,” katanya. 

Jelas Mas Ermieyati, ketika ini jawatan Ketua Audit Negara juga masih kosong selama empat bulan sejak penyandangnya, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid telah tamat perkhidmatan Februari lalu. 

“Ini kelemahan utama kerajaan dan memandang rendah pada institusi audit ini. Kita di sini pula mahu bahas laporannya. Perlu ingat, LKAN ini ialah orang yang bertanggungjawab kepada laporan ini yang mesti berada di sini untuk menjawabnya.  

“Speaker kata ini adalah untuk reformasi Parlimen mana laporan Utusan Malaysia yang mana tuan speaker mahu Ahli Parlimen membaca LKAN, tetapi, bagi saya, berapa ramai Ahli Parlimen tidak membaca laporan PAC? Mengapa tidak mahu bahas laporan PAC? PAC ini yang harus diperkasa,” katanya. 

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang mewakili kerajaan, Hassan Abdul Karim mempersoal jika pembangkang takut sekiranya laporan itu dibahas. 

“Mengapa takut LKAN ini dibentang? Parlimen mesti telus soal perbelanjaan,” soalnya. 

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer pula mendakwa wujud ketirisan semasa Perikatan Nasional (PN) mentadbir Kerajaan Persekutuan yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

“Kita tidak boleh terima pendapat pembangkang ini sebagai benar kerana isu peraturan semata-mata. Ketika Kota Bharu (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) menjadi menteri dahulu, beliau juga telah silap apabila memaklumkan Ordinan Darurat telah dimansuh. Jangan lupa. 

“Berlaku ketirisan ketika darurat. Sewaktu pimpinan Pagoh banyak ketirisan dilaporkan dalam LKAN. Cuma, pembangkang tidak mahu laporan ini dibahas,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya