PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah peroleh haji mabrur dalam melaksanakan ibadah tersebut.
Anwar menerusi laman Facebook miliknya berkata, beliau hadir ke Majlis Upacara Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, awal pagi tadi.
“Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah ke Tanah Suci yang diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bagi menunaikan ibadah haji.
“Mendoakan semoga Tuanku sekalian memperoleh ibadah haji yang mabrur dan diberi kesihatan yang baik serta dilancarkan segala urusan ibadah haji di Tanah Suci Mekah,” katanya.
Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri dijadual berada di Tanah Suci bermula hari ini hingga 2 Julai.
Kerajaan Arab Saudi mengumumkan hari Wukuf, hari kemuncak haji pada Selasa, 27 Jun, manakala Hari Raya Aidiladha disambut pada Rabu, 28 Jun. Umat Islam di Malaysia pula akan menyambut Aidiladha pada 29 Jun.- UTUSAN