KOTA BHARU: Seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat koperal menang saman terhadap rakan setugas yang bertindak memukulnya sehingga cedera semasa bertugas di Rejimen Askar Melayu DiRaja, Kem Desa Pahlawan di sini pada tahun lalu dan menerima ganti rugi sebanyak RM48,574 termasuk faedah serta kos.
Hakim Mahkamah Sesyen, Azman Mustapha membuat keputusan itu selepas mendapati Muhammad Helmy Mohamad, 31, selaku plaintif dicederakan oleh defendan yang merupakan rakan setugasnya iaitu Muhammad Noor Ridzuan Rashid,28.
Azman berkata, defendan tidak menafikan ada mencederakan Muhammad Helmy meskipun mendakwa dia hanya mempertahankan diri selepas plaintif membuat provokasi mengajaknya untuk bergaduh.
Menurutnya, mahkamah terpaksa menolak pembelaan dibuat oleh defendan kerana ia tidak konsisten dengan hasil siasatan pegawai cawangan siasatan jenayah ATM yang menyiasat kejadian tersebut.
“Setelah menilai semua keterangan yang dikemukakan, mahkamah berpuas hati dan plaintif berjaya membuktikan kes terhadapnya di atas imbangan kebarangkalian. Oleh itu, tuntutan plaintif dibenarkan.
“Defendan perlu membayar ganti rugi am kecederaan sebanyak RM 37,500, ganti rugi teladan dan teruk (RM9,375) selain ganti rugi khas (RM1,699) berserta faedah dan kos,” katanya semasa menyampaikan keputusan.
Plaintif diwakili peguam, Shaharuddin Mohamed dan Azhar Ahmad manakala peguam, Siti Nur Zafikah Zulkifli mewakili defendan.
Sebelum ini, Muhammad Helmy memfailkan saman terhadap Muhammad Noor Ridzuan apabila dia cedera dipukul oleh defendan selepas menjalankan tugasan rutin di Kompeni C, Batalion Ke-16, Rejimen Askar Melayu DiRaja, Kem Desa Pahlawan di sini kira-kira pukul 3 petang pada 11 April tahun lalu.
Menerusi penyataan tuntutan itu, plaintif telah dipanggil oleh defendan yang bertanya beberapa soalan berkaitan penugasan harian.
Defendan yang tidak berpuas hati dengan jawapan plaintif telah menyepak bahagian perutnya sebelum menumbuk muka Muhammad Helmy secara berterusan sehingga dia berdarah pada bahagian hidung.
Rawatan awal mendapati, plaintif mengalami lebam pada bahagian muka, mata kiri, pipi kiri, retak tulang hidung dan rahang kiri sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.
Plaintif kemudiannya diberikan cuti rehat dan diarahkan untuk menerima rawatan berkala di klinik bedah mulut HRPZ II.
Rentetan daripada kejadian itu, plaintif merasai kesakitan pada rahang kiri, mengalami kesukaran untuk mengunyah makanan dan pandangan mata kiri kabur sehingga perlu mendapat rawatan pakar mata di HRPZ II.
Selain itu, Muhammad Helmy turut mengalami kemurungan dan trauma setiap kali memasuki kem tentera yang merupakan tempat dia bertugas selepas kejadian tersebut.
Plaintif kemudiannya memfailkan saman menuntut ganti rugi am, teladan, teruk dan khas berserta faedah atau apa-apa jumlah yang difikirkan sesuai oleh pihak mahkamah atas tindakan defendan itu.-UTUSAN