Andre Anura sasar aksi terbaik di Sukan Asia 2023 - Utusan Malaysia

Andre Anura sasar aksi terbaik di Sukan Asia 2023

TOMOHARU Abe (dua dari kiri) bersama Nor Sarah Adi (tiga dari kanan) Andre Anura (dua dari kanan) dan Queenie Ting Kung Ni (kanan) pada Majlis Penghargaan Pemenang Pingat Di Bawah ASEAN Victory Projek Bagi Sukan SEA Ke-32 di Kilang Ajinomoto (M) Bhd. dekat Bandar Enstek, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Selepas memenangi pingat emas pada Sukan SEA Kemboja baru-baru ini, jaguh lompat kijang negara Andre Anura Anuar kini menyasarkan untuk memberikan persembahan terbaik dalam tiga kejohanan besar yang akan disertainya tahun ini.

Tiga kejohanan tersebut adalah Kejohanan Olahraga Asia, Kejohanan Olahraga Universiti Dunia dan Sukan Asia yang akan diadakan di Hangzhou, China.

“Saya kini melakukan persediaan untuk menghadapi ketiga-tiga kejohanan tersebut. Sasaran adalah untuk mendapat tempat terbaik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan Pemenang Pingat di bawah ASEAN Victory Project Dalam Sukan SEA Ke-32 di Kilang Ajinomoto (M) Bhhd. di Bandar Enstek, Nilai di sini.

Pada Sukan SEA Kemboja 2023 yang berlangsung di Phnom Penh, Andre Anura yang berasal dari Sabah mempertahankan pingat emas bagi acara lompat kijang selepas mencatatkan lompatan sejauh 16.06 meter.

Dalam pada itu, pada majlis berkenaan, seramai tiga orang atlet di bawah Program Pemakanan Sukan Winning Meals Kachimeshi, ASEAN Victory Project telah diraikan susulan prestasi membanggakan di Sukan SEA Kemboja 2023 yang lalu.

Selain Andre Anura, dua orang atlet lain ialah pelempar cakera, Queenie Ting Kung Ni dan atlet lompat galah, Nor Sarah Adi dengan masing-masing meraih pingat perak dalam acara masing-masing pada Sukan SEA itu.

Ketiga-tiga mereka sebelum ini telah diberikan pendedahan mengenai pemakanan sukan dan menerima makanan seimbang bagi memenuhi keperluan latihan dan sasaran mereka di temasya Sukan SEA Kemboja yang lalu.

Sementara itu, Pengarah Urusan Ajinomoto (M) Bhd. Tomoharu Abe berkata, pihaknya berharap program Winning Meals Kachimeshi akan terus dapat memberi sokongan dan manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia. 

“Program Winning Meals Kachimeshi juga diharapkan dapat memupuk amalan pemakanan sihat dan hidup aktif dalam kalangan atlet dan individu yang aktif bersukan,” katanya lagi.

Penglibatan Ajinomoto (M) Bhd.  dalam pemakanan nutrisi sukan bermula sejak tahun 2019 melalui kerjasama mereka dengan Kementerian Pendidikan.

Ia menerusi Projek Kesedaran Pemakanan Sukan yang merupakan inisiatif penciptaan nilai bersama Kumpulan Ajinomoto yang bertujuan untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan nutrisi sukan dalam kalangan pelajar atlet. 

Projek berkenaan masih diteruskan dan kini ia melibatkan tiga buah sekolah sukan iaitu Sekolah Sukan Bukit Jalil, Sekolah Sukan Malaysia Pahang dan Sekolah Sukan Malaysia Sabah.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya