Anak jaga ibu sakit raih 11A SPM

Anak jaga ibu sakit raih 11A SPM

MUHAMMAD Syahril Saidi menunjukkan keputusan SPM 2022 yang di perolehnya selepas meraih 11A di rumahnya di Kampung Kandis, Bachok, Kelantan, hari ini. UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Berkat menjaga dan menyantuni serta memuliakan ibunya yang terlantar sakit, seorang pelajar Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Darul Iman, di sini, tidak menyangka meraih keputusan cemerlang 11A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan semalam.

Muhammad Syahril Saidi, 18, berkata, dia terkejut memperoleh keputusan cemerlang itu kerana bukanlah seorang pelajar yang dikategorikan tekun dalam pelajaran.

“Saya belajar menggunakan keadah sendiri, namun yakin apabila jika menyayangi dan menghormati ibu bapa serta taat perintah Allah pastinya jalan kehidupan itu akan dipermudahkan.

“Syukur di atas kejayaan ini, kerana Allah memberi ingatan yang kuat dan memudahkan saya menjawab setiap soalan dengan tepat sepanjang peperiksaan SPM itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kandis, di sini, hari ini.

 

Muhammad Syahril memberitahu, dia memperoleh keputusan cemerlang tertinggi atau A+ dalam subjek Bahasa Melayu, Sains, Usul al-Din, Manahij al-‘Ulum al-Islamiah, al-Adab Wa al-Balaghah dan selebihnya cemerlang tinggi.

Katanya, dia hanya mengetahui perkara tersebut selepas pihak sekolah datang ke rumah dan memaklumkan perkara tersebut.

“Saya menjadi anak yatim sejak berusia setahun selepas ayah (Saidi Mat Jusuh) meninggal dunia, manakala umi (ibu) Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, menghidap penyakit saraf sejak tahun 2019.

“Kejayaan yang diperoleh ini saya dedikasi untuk umi  dan seluruh ahli keluarga yang banyak memberikan semangat dan motivasi untuk berjaya. Pesan saya kepada rakan-rakan pelajar agar sentiasa mengasihi dan menghormati ibu bapa sekiranya ingin berjaya dalam hidup dunia dan akhirat,” ujarnya.

Muhammad Syahril yang bercita-cita ingin menjadi pensyarah Bahasa Arab berkata, dia akan menyambung pelajaran di peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) terlebih dahulu dan tidak bercadang menyambung pengajian di peringkat universiti.

“Buat masa ini saya tidak fikir untuk memilih pengajian di mana-mana universiti. Saya akan fokus satu-satu dengan STAM di Maahad Yaakubiah, Bachok. Saya juga kesal apabila kejayaan saya itu tular di media sosial dengan mengaitkan kisah umi yang dikatakan menghidap penyakit dan laporan itu tidak tepat.

“Umi hanya menghidap penyakit saraf yang sedang dalam proses pemulihan. Saya harap semua pihak dapat memadamkan segera maklumat itu kerana ia menyentuh sensitiviti keluarga,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya