Amanah cadang Ku Li jadi Pengarah PRN Kelantan

Amanah cadang Ku Li jadi Pengarah PRN Kelantan

WAN Abdul Rahim Wan Abdullah semasa sidang media di Pejabat Lembaga Kenaf Dan Tembakau Negara, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Parti Amanah Negara (Amanah) mencadangkan veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li sebagai Pengarah Pilihan Raya untuk gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Kelantan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan  Amanah Nasional, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, Ku Li adalah individu tepat untuk mengetuai gerak kerja PH-BN.

Menurutnya, ketokohan yang ada pada batang tubuh Ku Li mampu memberi impak kepada gabungan parti di bawah Kerajaan Perpaduan itu untuk mencapai keputusan lebih positif pada PRN nanti.

“Kalau diberikan peluang saya cadangkan Ku Li untuk mengetuai jentera PH-BN di negeri ini dan saya yakin dengan adanya beliau, kita akan dapat melihat satu gelombang baharu di negeri ini.

“Sejak pemergian bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga kini, belum ada tokoh yang menjadi ikon politik di negeri ini. Yang ada hanya Ku Li,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat di Ibu Pejabat Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), di sini hari ini.

Wan Abdul Rahim memberitahu, beliau yakin BN masih mempunyai peluang untuk mempertahankan lapan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Katanya, dengan sokongan dan bantuan daripada PH jumlah kerusi tersebut mungkin boleh digandakan pada PRN nanti.

“Untuk seluruh negeri kita masih memberi tumpuan kepada kerusi-kerusi yang dimenangi oleh BN pada PRU 14 lalu di samping tumpuan kepada beberapa kerusi lain.

“Kita yakin BN masih ada peluang yang baik untuk mempertahankan lapan kerusi berkenaan, malah dengan sokongan PH melalui kerjasama di bawah nama Kerajaan Perpaduan ia mampu digandakan menjadi 16 kerusi,” ujarnya.

Bekas Pengerusi Amanah Kelantan itu berkata, semua itu bergantung kepada susunan yang akan dibuat oleh pihak Sekretariat Kerajaan Perpaduan nanti.

“Saya dimaklumkan pembahagian kerusi antara BN dan PH sudah 90 peratus selesai tetapi belum muktamad. Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama belum diputuskan.

“Keputusan mungkin dibuat oleh pimpinan nasional dalam masa terdekat. Selain itu, Amanah turut memberi tumpuan kepada kawasan Tanjung Mas tetapi kita tunggu dahulu penyelesaian di DUN Kota Lama,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya