KOTA BHARU: Bekas pengendali Persita Tangerang dalam saingan Liga 1 Indonesia dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Kelantan FC bagi menggantikan Frank Bernhardt.
Perlantikan pengendali berusia 50 tahun itu dipercayai dibuat rentetan kekalahan berterusan yang dialami Kelantan FC sebelum ini semasa bersama Bernhardt selain memulihkan semula maruah pasukan.
Kelantan FC dalam satu kenyataan media yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi pasukan malam tadi berkata, Alfredo Vera yang berasal dari Argentina itu mempunyai pengalaman melatih beberapa kelab divisyen utama dan kedua dalam saingan Liga Indonesia.
Menurutnya, antara pasukan yang pernah menggunakan khidmat Alfredo Vera ialah Persipura Jayapura ; Persebaya Surabaya dan banyak lagi.
“Kami berharap dengan pengalaman dimiliki oleh Alfredo Vera dapat membantu Kelantan FC.
“Selamat maju jaya buat Alfredo Vera,” katanya.
Utusan Malaysia 9 April lalu melaporkan, Kelantan FC secara rasmi mengumumkan pengarah teknikalnya Frank Bernhardt sebagai jurulatih baharu The Red Warriors (TRW) bagi menggantikan Choi Moon-sik.
Sebelum ini melaporkan bekas jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara itu Bernhardt dilantik sebagai pengarah teknikal Kelantan FC.
Sepanjang tujuh perlawanan melatih Kelantan FC termasuk aksi Piala FA, Bernhardt gagal membantu The Red Warriors meraih kemenangan.-UTUSAN