KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) (Pindaan) 2023 bacaan kali kedua yang sepatutnya diluluskan Dewan Rakyat hari ini ditangguh ke persidangan akan datang.
Penangguhan itu dibuat selepas ahli-ahli Parlimen yang berbahas mencadang supaya RUU itu dirujuk dahulu ke Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi.
Hal itu bertujuan untuk meminda beberapa peruntukan, bagi mengelakkan bias dalam pemilihan dan pengguguran keanggotaan ahli lembaga pengarah LHDN mewakili Sabah dan Sarawak yang mana seseorang menteri berkuasa penuh ke atasnya.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan sepatutnya menyempurnakan bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, namun beliau terpaksa membuat penangguhan selepas didesak ahli Parlimen.
RUU itu bertujuan meminda Akta LHDN 1995 (Akta 533) yang mana Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan peruntukan mengenai permulaan kuat kuasa akta yang dicadang.
Fasal 2, bertujuan meminda seksyen 6 Akta 533 untuk meluaskan keanggotaan Lembaga dengan menambah seorang yang mewakili Sabah dan seorang mewakili Sarawak yang hendaklah dilantik oleh menteri.
Fasal 3 bertujuan meminda seksyen 7 Akta 533 untuk memperuntukkan bahawa anggota yang dilantik di bawah perenggan 6(1)(da) atau (db) hendaklah juga memegang jawatan, tertakluk kepada terma yang ditentukan oleh menteri, selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan hendaklah boleh dilantik semula.
Fasal 4 pula bertujuan meminda seksyen 9 Akta 533 bagi memperuntukkan pelantikan anggota yang dilantik di bawah perenggan 6(1)(da) atau (db) juga boleh, pada bila-bila masa, dibatalkan oleh menteri tanpa memberi sebarang sebab.
Fasal 5 pula bertujuan meminda perenggan 28(a) Akta 533 bagi meluaskan kuasa pelaburan lembaga dengan menyimpan wang lembaga yang ada, untuk pelaburan ke dalam bank Islam yang dilesenkan dengan sewajarnya di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.
Ahli Parlimen Kota Belud dari Parti Warisan (Warisan), Isnaraissah Munirah Majilis berhujah, sekalipun wakil-wakil Sabah dan Sarawak berada di dalam lembaga pengarah LHDN, ia tidak akan dapat melindungi keistimewaannya kerana pelantikan itu boleh ditarik semula.
Beliau turut mempersoal jika ahli lembaga pengarah mewakili Sabah dan Sarawak berisiko dipecat jika mendedahkan maklumat yang menyentuh kepentingan negeri atau tidak sealiran dengan Kerajaan Persekutuan.
“Adakah wakilnya boleh dipecat dan dibatal oleh menteri? Kedua, apakah peranan ahli lembaga pengarah dari Sabah ini? Apakah statusnya sama dengan ahli lembaga pengarah yang lain atau lebih tinggi? Siapa pula yang akan cadangkan wakil dari Sabah dan Sarawak dalam LHDN? Adakah perlu diikuti (keputusan) sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan?
“Adakah selepas berlaku pindaan RUU ini, kerajaan Persekutuan akan mendedahkan kutipan hasil negeri Sabah Sarawak kepada umum atau maklumkan kepada wakil-wakil kerajaan Sabah dan Sarawak yang menganggotai ahli lembaga pengarah LHDN?,” soalnya di Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen Tuaran dari Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mempersoal jika kerajaan telah berunding dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berhubung pindaan RUU itu.
“Bagaimana pindaan ini telah dibuat? Jelas di sini bagi saya tidak ada perundingan. Kalau dia mewakili Sabah dan Sarawak, kenapa tidak dirujuk kepada Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak dahulu?.
“Ini sangat penting sebab itu saya setuju dengan YB (Yang Berhormat) Kota Belud bahawa keadaan politik sudah berubah. Kerajaan Persekutuan mungkin kerjasama dengan Kerajaan Sabah dari segi kepemimpinannya tetapi dari segi hak itu adalah hak,” katanya.
Beliau bersetuju dengan cadangan supaya kerajaan memindahkan kuasa kepada Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak untuk melantik atau membatalkan keanggotaan wakil dari negeri itu dalam LHDN.
“Orang yang dilantik ini iaitu wakil Sabah dan Sarawak selain daripada kelayakan yang dinyatakan dalam akta, dia juga adalah mewakili kerajaan negeri Sabah dan Sarawak. Kalau dia mewakili hendaklah dirunding dengan Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak.
“Saya setuju (dengan cadangan Ahli Parlimen Tanjong Manis), kalau wakil dari Sarawak dan Sabah hendaklah dilantik mestilah mendapat persetujuan daripada Premier Sarawak atau Ketua Menteri Sabah. Begitu juga kalau hendak membatalkan pelantikan mereka,” katanya.
Ahli Parlimen Puncak Borneo dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Willie Mongin dalam celahannya berkata, pindaan RUU berkenaan memberi satu keadaan tidak baik dan wajar jika wakil-wakil negeri adalah melalui saranan Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak.
“Hal ini supaya membawa perkara yang lebih penting sebab mereka lebih tahu keadaan di Sabah dan Sarawak berbanding keputusan dibuat menteri,” katanya.
Ahli Parlimen Pendang dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Awang Solahuddin Hashim berhujah, tafsiran kuasa menteri dalam melantik anggota dalam LHDN mewakili Sabah dan Sarawak terlalu luas, dan timbul pelbagai persoalan mengenai kriteria pelantikan di dalam lembaga.
Katanya, kerajaan perlu melibaturuskan perkara itu dengan mendapatkan pandangan Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah dalam menyenaraikan ahli-ahli yang dilantik mengikut kelayakan.
“Dalam melaksanakan keanggotaan LHDN ini dengan menambah seorang wakil dari Sabah dan Sarawak yang dilantik menteri adalah terlalu luas, siapa yang layak dilantik? Jadi saya cadang pelantikan ini disenaraikan setelah dipersetujui oleh Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah dan dibentang di Parlimen.
“Jadi, tidak ada mana-mana pihak akan mengatakan ini kuasa Menteri Kewangan dalam membuat keputusan. Ini juga tidak menjurus kepada fitnah kepada seorang menteri. Walaupun ada hak menteri melantik, tetapi tidak dinafikan akan ada unsur bias,” katanya.
Sementara itu, Ahmad dalam nada tidak puas hati berkata, beliau telah memanggil ahli Parlimen Kerajaan untuk memberi taklimat mengenai pindaan itu pada Isnin lalu, bagaimanapun mendakwa ada yang tidak hadir malah tidak memahami pindaan berkenaan.
Ahmad berpendirian, sebagai contoh duluan, terdapat beberapa akta yang memberi kuasa kepada menteri untuk melantik dan memecat anggota dalam satu-satu badan.
Katanya, menteri yang dilantik telah mengangkat sumpah jawatan dan merupakan seorang yang bertanggungjawab dan tidak sama sekali menyalahguna kuasa dalam membuat keputusan ketika memilih anggota sesebuah badan termasuklah LHDN.
“KWSP subseksyen 7(1) seseorang ahli pada bila-bila masa boleh meletakkan jawatan melalui notis dan menteri boleh pada bila-bila masa membatalkan pelantikan. Kemudian Akta KWAP 662 dalam jadual kedua ada juga peruntukan kuasa menteri untuk membatalkan pelantikan.
“Jadi adakah kita mahu pinda semua sekali akta KWSP, KWAP, LADA dan banyak lagi dan semua menteri perlu rujuk (jawatankuasa khas) sebelum membuat keputusan?
“Bagaimanapun, oleh kerana ramai yang minta perkara ini dibawa ke jawatankuasa khas, saya ingin menyatakan kita tidak pernah buat begini, kita boleh pinda dalam jawatankuasa. Oleh kerana ahli yang berhormat tidak hadir entah pergi ke mana, maka saya ingin memaklumkan kerajaan akan bawa RUU ini ke jawatankuasa,” katanya.-UTUSAN.