99 peratus simpang keluar perumahan, kampung di Kuantan tiada papan tanda amaran - Utusan Malaysia

99 peratus simpang keluar perumahan, kampung di Kuantan tiada papan tanda amaran

SIMPANG keluar kawasan perumahan dan kampung perlu dipasang papan tanda amaran sebagai panduan serta peringatan kepada pengguna jalan raya di situ supaya berhati-hati.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kira-kira 99 peratus simpang keluar kawasan perumahan dan kampung di daerah ini tidak mempunyai papan tanda amaran sebagai panduan serta peringatan kepada pengguna jalan raya di situ supaya lebih berhati-hati.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka), Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, papan tanda di jalan raya memainkan peranan penting dalam memberi panduan, amaran atau maklumat kepada pengguna jalan raya.

“Namun apa kita dapati, kira-kira 99 peratus jalan keluar kawasan perumahan dan kampung tiada papan tanda amaran dan ia membahayakan penduduk serta pengguna jalan raya.

“Saya ambil contoh kenyataan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu tentang kemalangan maut di Tanjung Lumpur semalam bahawa kecuaian pemandu Perodua Myvi keluar simpang secara melulu dipercayai jadi punca seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dalam kejadian itu.

“Peka berpandangan, antara faktor penyumbang kemalangan ini kerana tiada papan tanda amaran sehingga menyebabkan pemandu Perodua Myvi terbabit keluar simpang secara melulu,” katanya di sini.

Mengulas lanjut tentang papan tanda, Zuhairi berkata, terdapat beberapa jenis papan tanda iaitu papan tanda larangan, papan tanda mandatori, papan tanda amaran, papan tanda sementara, papan tanda panduan dan papan tanda maklumat.

“Setiap papan tanda hadir dalam warna berbeza bagi memudahkan pemandu jalan raya mengenali jenis amaran atau panduan semasa memandu kenderaan,” katanya.

Beliau mencadangkan, selain pemasangan papan tanda amaran, pihak berwajib juga boleh membina bonggol di jalan-jalan utama kawasan perumahan dan kampung.

“Jika ada bonggol, kenderaan terpaksa memperlahankan kenderaan dan tidaklah keluar simpang melulu.

“Pembinaan bonggol juga lebih menjimatkan dan diharap pihak berwajib mengambil langkah-langkah terbaik bagi mengelakkan berlakunya kemalangan di simpang keluar perumahan dan kampung,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN