ISKANDAR PUTERI: Seramai 929 pekebun dan penternak di negeri mengalami kerugian berjumlah RM17,730,765 akibat bencana banjir yang melanda, Mac lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, kerugian itu merangkumi pengusaha subsektor tanaman agromakanan, penternakan, perikanan serta industri asas tani.
Menurutnya, permohonan untuk membantu mereka telah dimajukan jabatan atau agensi berkenaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).
“Permohonan bantuan itu kini di peringkat kelulusan menerusi peruntukan di bawah Tabung Bencana, iaitu Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) kementerian,” katanya menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gan Peck Cheng (PH-Penggaram) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Zahari yang juga ADUN Buloh Kasap berkata, Jabatan Pertanian negeri telah menerima sebanyak 704 permohonan bencana melibatkan tanaman padi, sayur, buah-buahan, lebah madu, cendawan serta industri asas tani dengan anggaran kerugian RM10.3 juta.
“Daerah Tangkak merekodkan jumlah permohonan tertinggi, iaitu seramai 206 petani dengan kerugian RM2.1 juta, diikuti Mersing (157 petani), Segamat (108) dan Batu Pahat (104).
“Kesemua permohonan ini telah diangkat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bencana peringkat negeri pada April 2023 untuk diperakukan. Seterusnya permohonan ini akan dimajukan menerusi sumber peruntukan negeri dan Persekutuan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan seramai 431 pengusaha sektor pertanian dan sebuah komuniti perikanan yang terkesan banjir telah menerima bantuan sebanyak RM2.5 juta, tahun lalu.
“Bantuan itu bukanlah untuk menampung kerugian projek pertanian, sebaliknya usaha membantu pengusaha untuk terus melaksanakan semula projek-projek pertanian yang telah terjejas,” jelasnya. – UTUSAN