80 ahli YGMB mangsa banjir terima bantuan 'one-off' RM500 - Utusan Malaysia

80 ahli YGMB mangsa banjir terima bantuan ‘one-off’ RM500

AMINUDIN ADAM (empat dari kanan) menyerahkan replika cek manfaat bencana banjir untuk kawasan utara Johor kepada Ahmad Taufik di Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Yayasan Guru Malaysia. Bhd., (YGMB) memperuntukkan RM40,000 sebagai bantuan ‘one-off’ berjumlah RM500 kepada guru-guru yang terjejas banjir pada Mac lalu di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, bantuan itu disalurkan kepada 80 guru ahli YGMB di Johor yang terkesan banjir.

“Walaupun bencana banjir sudah lama berlalu, pihak kami amat bersimpati dan mengambil berat untuk meringankan beban guru yang ditimpa bencana alam itu.

“Justeru, pihak YGMB menyumbangkan secara ‘one-off’ sebanyak RM500 kepada kepada mangsa banjir (guru) terbabit,” katanya pada Majlis Hi-Tea Penerima One-Off RM500 Manfaat Bencana Banjir YGMB di sebuah hotel di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi YGMB, Aminudin Adam dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Ahmad Taufik Hamzah.

Pihak YGMB turut berterima kasih kepada semua agensi dan pihak yang membantu keluarga guru dan kakitangan pendidikan mangsa banjir di Segamat, Batu Pahat, Kluang dan Mersing tempoh hari.

“Keutamaan sumbangan daripada pihak YGMB ini untuk meringankan beban guru-guru dan keluarga yang terlibat di dalam kejadian banjir di kawasan itu.

“Sumbangan ini juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) YGMB dalam usaha memelihara kebajikan warga pendidik,” tambahnya.

Pada Mac lalu, YGMB menyumbangkan keperluan asas dan persekolahan bernilai RM20,000 kepada keluarga mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bali, Chaah, di sini. 

Pihak YGMB mengambil inisiatif untuk memberi bantuan segera dengan menghantar sumbangan barangan keperluan asas termasuk makanan kepada mangsa banjir di PPS tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN