KUALA SELANGOR: Lebih 500 peneroka yang majoritinya warga emas mengusahakan sektor pertanian atas tapak seluas kira-kira 1,719 hektar di daerah ini gusar kehilangan sumber pendapatan mereka selepas tanah tersebut diambil semula kerajaan negeri.
Kesemua tanah melibatkan ribuan lot di Kampung Bestari Jaya, Raja Musa, Seri Makmor, Basfic Tin dan Taman Tennamaram diusahakan mereka lebih 40 tahun lalu bagi tanaman kelapa sawit, sayur-sayuran serta penternakan ikan dan ayam.
Tanah tersebut didakwa diambil semula tanpa sebarang notis bagi tujuan perlombongan pasir walaupun peneroka-peneroka di sana memaklumkan mereka sudah pun mengusahakan tanah tersebut sejak awal 1980-an dan mendapat Lesen Menduduki Sementara (TOL) pada 2003.
Lebih mengecewakan, permohonan mereka selepas 20 tahun mengusahakan tanah tersebut kepada Pejabat Tanah dan Daerah bagi mendapatkan geran secara kelompok yang dibuat pada Jun 2003 juga tidak dilayan.
Salah seorang peneroka, Logarajan Raman, 62, ketika ditemui berkata, berita terbaharu yang diterima mereka pada September 2022 berhubung kelulusan permit oleh pejabat berkenaan kepada sebuah syarikat untuk pengeluaran bahan batuan bagi tujuan perlombongan pasir benar-benar mengecewakan mereka.
“Kami di sini menunggu terlalu lama, 40 tahun penantian dan penat mengusahakan tanah tersebut dan membayar permit TOL dan cukai-cukai lain berkaitan hasil pertanian, namun, tidak dipandang oleh pihak berkuasa.
“Kebanyakan peneroka di sini adalah warga emas, tidak lagi mampu bekerja dan mengharapkan hasil pertanian dari tanah tersebut sebagai sumber pendapatan. Kalau hilang sumber pendapatan, apa pekerjaan yang kami boleh dapat pada usia tua yang sebahagiannya juga sudah jadi orang kurang upaya (OKU),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Awal penerokaan
Berdasarkan kronologi penerokaan tersebut, segelintir peneroka dipercayai mula mengusahakan tanah tersebut lebih awal sejak hujung 1960-an iaitu ketika sebahagian besar kawasannya dijadikan lombong bijih timah yang beroperasi sehingga 1991.
Kemudian, pada 1980-an lebih ramai peneroka datang mengusahakan pelbagai bentuk sektor ekonomi pertanian termasuklah mengusahakan ladang kelapa sawit yang menjadi antara aktiviti awal di sana.
Pada tahun sama juga, ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, mereka digalakkan untuk mengusahakan pertanian di kawasan berkenaan dan pernah mendapat surat sokongan daripada wakil rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Datuk K. Sivalingam untuk memperoleh TOL.
Diarah bayar sewa oleh syarikat pelombong
Selain itu, menurut seorang lagi peneroka, Saharuddin Selamat, 58, ada sebahagian penduduk di Kampung Raja Musa yang mengusahakan tanah berkenaan mendakwa pernah dipanggil temu duga oleh Pejabat Tanah dan Daerah kira-kira 20 tahun lalu bagi tujuan pemilikannya.
Bagaimanapun, sehingga hari ini, tiada maklum balas atau jawaban diterima mereka dan turut meluahkan kekecewaan apabila melihat surat kelulusan permit kepada syarikat berkenaan serta papan tanda yang dinaikkan bagi tujuan perlombongan itu.
“Ada sebahagian kawasan pokok kelapa sawitnya ditebang oleh pihak pelombong tanpa memberi sebarang makluman atau notis dengan alasan mereka sudah mendapat permit.
“Tetapi mujur wakil rakyat di kawasan tersebut ketika itu (bekas ADUN Permatang, Sulaiman Abdul Razak dan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar) membantu kami berunding dengan pihak berkuasa.
“Perkara tersebut turut mendapat perhatian ADUN Bukit Malawati yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari), Juwairiya Zulkifli yang berusaha membantu menangguhkan kerja-kerja perlombongan,” jelasnya.
Sementara itu, menurut Ketua Unit Peladang Kampung Rantau Panjang, Mohd. Fadzil Ibrahim meluahkan rasa terkejut apabila diminta membayar sewa oleh syarikat pelombong sedangkan dia mengusahakan tanah tersebut sebagai projek Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan Agrotek sejak 1998.
“Dalam projek itu ada tiga sektor pertanian iaitu penternakan ikan keli, ayam dan tanaman sayur-sayuran atas tanah seluas kira-kira 154 hektar bersama 29 peserta sebagai usahawan tani.
“Baru-baru ini, kami didatangi sekumpulan yang dipercayai wakil syarikat, mereka meminta kita membayar sewa kepada pemegang permit (pelombong) kira-kira RM100 bagi setiap ekar tanah sebulan sedangkan kami bayar RM500 kepada pihak berkuasa bagi setiap dua hektar tanah setiap tahun,” tegasnya.
Katanya lagi, peneroka tiada masalah untuk menyerahkan kembali tanah tersebut, namun berharap nasib mereka dibela dengan memberikan pampasan setimpal memandangkan kebanyakannya adalah warga emas yang akan hilang sumber pendapatan.
Susulan itu, pemberita cuba mendapatkan reaksi daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim, namun panggilan tidak dijawab.-UTUSAN