300 peserta Ladang FGV Tembangau 3 dilema tiada rumah lepas

300 peserta Ladang FGV Tembangau 3 dilema tiada rumah lepas bersara

RUMAH disediakan Felda untuk peserta Ladang Felda Global Ventures (FGV) di Tembangau 3 di Bera, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Kira-kira 300 peserta Ladang Felda Global Ventures (FGV) Tembangau 3 hingga 9 di sini dalam dilema mengenangkan nasib mereka yang tiada tempat tinggal selepas bersara kerana terpaksa keluar dari rumah dua bilik disediakan majikan di situ.

Bagaimanapun difahamkan, peserta ladang terbabit dibenarkan tinggal di rumah didiami sejak lebih 20 tahun lalu itu dengan sewa RM150 sebulan sehingga berusia 60 tahun.

Seorang peserta Ladang FGV Tembangau 4, Baharudin Taib memberitahu Utusan Malaysia, selepas bersara, mereka terpaksa mencari kediaman baharu kerana bukan berstatus peneroka Felda tetapi hanya sebagai pekerja ladang sama seperti warganegara asing berpermit.

“Saya masuk sebagai peserta atau pekerja ladang sejak 1997, kini saya bimbang tentang nasib yang bakal menimpa selepas bersara. Ini kerana saya tiada rumah untuk berteduh.

“Usaha dan rayuan termasuk memorandum sudah dihantar kepada Perdana Menteri dan kementerian terlibat sejak 2017 supaya diwujudkan skim rumah kepada pekerja ladang Felda,” katanya di sini semalam.

Baharudin berkata, permohonan mereka bekerja di situ pada asalnya sebagai peneroka Felda tetapi kemasukan ke tanah rancangan dibekukan sekitar 1990.

“Jadi kami tiada pilihan dan terpaksa bersetuju sebagai peserta perladangan waktu itu,” katanya.

Seorang pesara ladang Felda Tembangau 3, Razak Lisut, 65, mengakui terpaksa menyewa rumah RM150 sebulan yang sebelum ini didiaminya sebelum bersara.

Menurutnya, selaku rakyat negara ini, dia keliru dengan untung nasib dan masa hadapannya sama ada berstatus warganegara Malaysia atau warganegara asing.

“Oleh itu kerajaan perlu melihat nasib bekas pekerja perladangan FGV ini kerana mereka ibarat sepah yang terumbang ambing tiada rumah di usia tua,” katanya.

Sementara itu Presiden Dewan Perniagaan Bumiputera Felda Malaysia (DPBFM), Datuk Mohd. Mokhtar Ghazali berharap, kerajaan dan Felda dapat mencari mekanisme bagi membantu bekas pekerja ladang Felda.

Menurutnya, mereka rakyat ‘original’ negara ini bukannya pekerja asing apabila sampai tempohnya akan kembali ke negara asal.

“Jangan biarkan rakyat sendiri menderita setelah keringat mereka diperah demi membangunkan sebuah konglomerat,” katanya.

Beliau berkata, antara resolusi dicadangkan ialah membuka ladang Felda untuk kemasukan semula peneroka dengan memberi keutamaan kepada bekas pekerja atau peserta ladang FGV.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya