1,000 ayam 'lesap' dalam sejam, BRAJ jimatkan belanja rakyat - Utusan Malaysia

1,000 ayam ‘lesap’ dalam sejam, BRAJ jimatkan belanja rakyat

ZAHARI SARIP turun padang menjayakan jualan Bazar Rakyat Agro Johor di Lot Gerai Jualan Usahawan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Batu Anam, Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Sebanyak 1,000 ayam dijual dengan harga RM10 seekor ‘lesap’ dalam tempoh satu jam sempena jualan Bazar Rakyat Agro Johor (BRAJ) di Lot Gerai Jualan Usahawan  Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Batu Anam, di sini hari ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip, selain ayam, promosi set Kombo Madani merangkumi seekor ayam dan satu papan telur gred C yang dijual pada harga RM15 turut habis terjual dalam tempoh 45 minit.

“Harga asal ayam dan sepapan telur gred C tersebut masing-masing RM16 dan RM11.90,  namun mendapat tampungan subsidi daripada kerajaan negeri.

“Kerajaan Johor menerusi FAMA negeri menampung keseluruhan subsidi BRAJ. 

“Telur ayam gred C yang dijual pada harga RM10 sepapan mendapat sambutan luar biasa. Begitu juga dengan ayam,” katanya ketika ditemui pada jualan berkenaan yang turut dihadiri Pengarah FAMA Johor, Faidz Afizi Mohamed dan Pegawai FAMA Segamat, Aswandi Mohd. Saim.

Zahari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap berkata, sebanyak 30 siri jelajah jualan BRAJ dianjurkan di negeri ini sepanjang bulan ini.

Sementara itu, seorang peniaga ayam, Zulkifli Abd. Wahab, 47, berkata, jualan ayam terpaksa dihadkan kepada seekor bagi setiap pembeli memandangkan sambutan amat luar biasa.

Subsidi yang diberikan kerajaan negeri membolehkan pembeli mendapat bekalan produk tersebut pada harga lebih murah.

Seorang pengguna, Azman Abdul Rahman, 59, berkata, walaupun ramai yang bersesak-sesak sejak pukul 6 pagi ingin mendapatkan ayam dan telur namun bekalannya mencukupi.

“Kami harap jualan seumpama ini diperbanyakkan dan dibuat lebih kerap di lokasi bandar dan luar bandar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya