Wujud jawatan rasmi ketua pembangkang DUN Pahang - Utusan Malaysia

Wujud jawatan rasmi ketua pembangkang DUN Pahang

JASRI Jamaludin (depan) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri disaran mewujudkan jawatan rasmi ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang seperti mana dilaksanakan di Dewan Rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin berkata, ketua pembangkang perlu mempunyai kelebihan-kelebihan tertentu terutama daripada sudut semak dan imbang di negeri ini.

“Apabila jawatan ketua pembangkang DUN Pahang diwujudkan dan diwartakan, ia akan membuka lembaran baru landskap politik negeri ini dan sekali gus menandakan bahawasanya Pahang makin matang dalam melayari arena demokrasi,” katanya dalam kenyataan di sini.

Jasri dalam pada itu turut meminta kerajaan pada hari ini supaya bertindak dan bersikap inklusif.

“Kenapa perlu inklusif kerana kita ini semua berkhidmat untuk rakyat. Rakyat wajib mendapat khidmat terbaik dari semua wakil rakyat tidak kira kerajaan atau pembangkang.

“Saya suka dan memuji sikap terbuka Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menyatakan akan menjunjung titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat jelata.

“Tetapi ada beberapa perkara yang bermain di benak fikiran saya, contohnya hal-hal melibatkan penggunaan premis-premis tertentu seperti dewan dan balai raya untuk tujuan program rakyat, saya mohon janganlah premis ini eksklusif sangat dan bagilah kami dalam kalangan wakil rakyat pembangkang untuk menggunakannya,” katanya.

Menyentuh tentang perumahan, beliau mencadangkan supaya kerajaan negeri mencari penyelesaian terbaik tentang wang pendahuluan 10 peratus kerana tidak semua rakyat mampu menyediakannya.

“Ingin saya sarankan agar kerajaan negeri memikirkan jalan penyelesaian terbaik sama ada menurunkan wang pendahuluan kepada lima peratus atau mewujudkan sistem kewangan khas untuk pinjaman dan jual beli.

“Contoh mudah, kalau hendak membeli motosikal kita boleh sahaja pinjam di kedai yang bertauliah, jadi saya cadang agar kerajaan negeri boleh memikirkan mekanisme yang hampir sama untuk mewujudkan kemudahan pinjaman kepada rakyat kurang berkemampuan,” katanya.

Selain itu, beliau juga mencadangkan agar sistem sewa beli diperkenalkan semula tetapi kerajaan negeri perlu mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang dapat menjamin kutipan sewa beli yang konsisten.

“Saya sering kali menerima aduan rakyat yang memohon agar skim sewa beli dilaksanakan kembali. Saya sedia maklum ada segelintir penyewa yang liat hendak membuat bayaran bulanan tetapi ia bukan alasan kerana jika ada penguatkuasaan yang ampuh maka skim sewa beli ini boleh diteruskan,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) adalah membebankan rakyat dan merupakan konsep ‘double dipping’ iaitu proses yang berulang.

“Walaupun penyerahan hanya di SJKP tetapi perlu juga melalui bank, apa kata diwujudkan sistem bersepadu berkonsepkan pusat sehenti. Kedua, kadar bunga yang tinggi dan kenaikan Kadar Dasar Semalam (OPR) akan menyulitkan lagi rakyat untuk
memiliki rumah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN