KOTA BHARU: Seorang penyeludup warganegara Thailand didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyimpan 150.44 liter diesel tanpa lesen di hadapan sebuah stesen minyak di Machang dekat sini bulan lalu.
Pengakuan tersebut dibuat oleh tertuduh yang berusia 48 tahun itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki barang kawalan yang juga merupakan barang berjadual iaitu diesel sebanyak 150.44 liter dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah.
Perbuatan itu melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan secara borong atau runcit barang kawalan tersebut tanpa lesen.
Kesalahan tersebut dilakukan olehnya di depan sebuah stesen minyak di jalan pintas Machang kira-kira pukul 11 pagi pada 27 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta sama yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Muhammadi Iman Masjuri dan Che Mahmood Hassan manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Fariduddin Mat Noor.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM25,000 selain memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mahkamah juga mengarahkan jualan minyak diesel itu dijadikan hasil kerajaan dan kenderaan yang disita dilucuthak.
Tertuduh kemudian telah membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah.-UTUSAN