KUALA LUMPUR: Warga pendidik dalam kalangan orang muda penting bagi melahirkan generasi yang berkebolehan selaras dengan cabaran dunia masa kini.
Menjelaskan perkara itu, Pengerusi Malaysia Influential Educators (MIE), Tiffany Tan Tian Yee berkata, pelbagai inisatif kini dilakukan bagi menarik minat orang muda untuk menjadikan karier pendidik sebagai kerjaya pilihan.
Jelasnya, usaha itu sudah pasti dapat membantu melahirkan generasi baharu yang berilmu dan berkebolehan dalam setiap aspek pendidikan yang dipelajari.
“Program yang kita anjurkan adalah sebagai usaha untuk memupuk ramai lagi generasi baharu terlibat dalam kerjaya pendidikan dan membantu bidang ini lebih maju sederap dengan arus pembangunan kini.
“Pada kita, negara memerlukan guru yang berkebolehan untuk melahirkan generasi baharu yang bijak pada masa akan datang, ini kerana cabaraannya sudah pasti berbeza,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengakui cabaran yang dilalui para guru sekarang tidak sama dengan sebelum ini, Tiffany berkata, pihaknya menganjurkan anugerah MIE 4.0 bagi menghargai jasa mereka yang sentiasa menyumbangkan idea yang kritis dan kreatif dalam mencurahkan ilmu kepada pelajar.
Anugerah tersebut adalah bersandarkan kepada beberapa kriteria dalam perjalanan pendidikan mereka berhubung kecekapan, kebijaksanaan dan bakat serta pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam bidang pendidikan masing-masing.
“Pada tahun ini, keprihatinan masyarakat dan senario semasa menjadikan dunia pendidikan sangat mencabar dan semakin kompetitif akibat penggerak utama (driving forces) untuk merempuh perubahan globalisasi, keterbukaan sosial, ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pendidikan digital dan ekspektasi pihak berkepentingan yang semakin meningkat.
“Hanya sistem pendidikan yang terbaik yang dapat melahirkan warga yang berilmu dan berbudaya tinggi. Saya berharap penghargaan ini akan menjadi pembakar semangat kepada pendidik yang lain dalam memberi sumbangan untuk memampan dan melonjakkan lagi mutu pendidikan di negara kita,” ujarnya lagi.-UTUSAN