SEREMBAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan telah menahan dan mengambil tindakan terhadap tiga orang pemandu di daerah kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 (2) Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987 iaitu menyalah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM).
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, kesemua mereka ditahan hasil penguatkuasaan khas selama dua hari yang berakhir hari ini ke atas van persendirian yang menjalankan perkhidmatan awam van sekolah tanpa permit di daerah ini.
“Dalam operasi yang melibatkan enam orang anggota penguat kuasa JPJ Negeri Sembilan ini, seramai tiga orang pemandu telah ditahan dan diambil tindakan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(2) APJ 1987. Sebanyak tujuh buah kenderaan juga telah diperiksa dan tiga buah kenderaan telah diambil tindakan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya menggunakan perkhidmatan van sekolah atau mana-mana pengangkutan awam yang mempunyai permit bagi memastikan perjalanan menghantar anak masing-masing ke sekolah lancar dan selamat.
“Pada masa yang sama, JPJ akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan berterusan untuk membendung aktiviti kenderaan persendirian yang menawarkan perkhidmatan van sekolah tanpa permit,” katanya.-UTUSAN.