UTM perkenal 'Premium Employment', sasar kebolehpasaran

UTM perkenal ‘Premium Employment’, sasar kebolehpasaran graduan 100 peratus

AHMAD FAUZI ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bagi memastikan graduannya mempunyai kebolehpasaran yang tinggi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperkenalkan inisiatif ‘Premium Employment’.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, UTM merupakan satu-satunya universiti awam yang memulakan strategi memastikan graduannya bukan sahaja diterima bekerja selepas menamatkan pengajian, malah turut menerima gaji premium iaitu melebihi RM4,000 sebulan.

“Bagi menjayakan hasrat tersebut, UTM menjalin kerjasama dengan pemain industri premium dan melakukan pelbagai kolaborasi termasuk penyelidikan bersama, pengajaran dalam kelas serta aktiviti lain.

“Tujuannya untuk membuka laluan kepada pemain-pemain industri tersebut mengenali bakat-bakat graduan UTM sekali gus menawarkan mereka peluang pekerjaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, rekod kebolehpasaran graduan UTM bagi tahun 2021 adalah 97.9 peratus dengan graduan mendapat pekerjaan dalam tempoh beberapa bulan selepas menamatkan pengajian masing-masing.

“Pastinya kita mahu meningkatkan lagi tahap kebolehpasaran graduan UTM sehingga ke peringkat tertinggi, ke tahap 100 peratus iaitu kesemua graduan kita diterima bekerja.

“Status UTM selaku universiti penyelidikan menjadikan graduannya laris dan menepati permintaan industri ketika ini, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik serta pelbagai cabang kejuruteraan,” katanya.

Ahmad Fauzi memberitahu, dalam usaha meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan, kelayakan akademik bukanlah satu-satunya aspek yang menjadi penilaian.

“Tidak dinafi, kelayakan akademik adalah ‘filter’ pertama bagi industri memilih pekerja, namun kemahiran berkomunikasi, kepimpinan, adaptasi serta personaliti yang baik turut dinilai.

“Sehubungan itu, UTM mewajibkan semua penuntut mengikuti program tambahan di luar kurikulum iaitu Sijil Kemahiran Profesional UTM yang merupakan antara syarat wajib lulus sebelum graduan boleh menamatkan pengajian masing-masing,” jelasnya.

Justeru, program tambahan itu diperkenalkan dan diadun bagi meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam kalangan graduannya, katanya sambil menyarankan supaya golongan siswazah tidak terlalu memilih pekerjaan sehingga menyebabkan masih terdapat pengangguran. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya