KOTA KINABALU: Terpedaya dengan pujukan sekumpulan remaja lelaki untuk merasa perisa baharu vape, tiga remaja perempuan bawah umur dirogol secara berkumpulan di sebuah rumah tumpangan di Kampung Air, di sini pada Khamis lalu.
Sebelum kejadian, kesemua mangsa dipercayai ditegur oleh empat remaja lelaki tidak dikenali dan seorang wanita dikenali semasa berada di sebuah pusat beli-belah yang kemudiannya memujuk mangsa untuk melepak di rumah tumpangan mereka.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, salah seorang mangsa membuat laporan polis pada 27 April lalu menyatakan menjadi mangsa rogol.
Berdasarkan laporan, semasa berada di rumah tumpangan suspek, kesemua mangsa diumpan untuk menghisap vape yang berperisa baharu. Selepas ketiga-tiga mangsa menghisap vape, kesemua mangsa mula tidak sedarkan diri.
“Apabila ketiga-tiga mangsa tersedar pada tengah malam, mangsa mendapati kesemua mereka dalam keadaan tidak berpakaian dan disyaki dirogol.
“Semasa tersedar, kesemua lima suspek menghilangkan diri dari rumah tumpangan tersebut. Justeru, salah seorang mangsa bertindak untk membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bertindak atas laporan yang dibuat oleh mangsa, pihaknya berjaya mengesan dan menangkap kelima-lima suspek yang terlibat di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu dan kawasan Telipok Ria, Tuaran.
Kesemua suspek ditahan reman sehingga 5 Mei untuk siasatan di bawah Seksyen 372(1)(a) Kanun Keseksaan dan 375(B) kanun yang sama.
Susulan itu, pihak polis menasihati remaja perempuan agar tidak mudah terpedaya atau terpengaruh dengan kenalan lelaki yang baharu dikenali dan tidak cuba untuk menghisap vape kerana ia membawa kepada risiko keselamatan diri.-UTUSAN