SEREMBAN: UMNO menerima semula kemasukan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sebagai ahli parti itu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan perkara itu dan memberitahu perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO semalam.
“Ia diputuskan oleh MKT semalam, surat (rasmi) belum dikeluarkan, tetapi ia disahkan, hanya seorang sahaja,” katanya ketika ditemui di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Isa yang ditemui kemudiannya, menyatakan terima kasih kepada pucuk kepemimpinan UMNO yang menerima semula beliau sebagai ahli parti berkenaan.
“Saya tidak pernah menentang UMNO malah semasa saya bukan lagi sebagai ahli saya tetap memberikan sokongan kepada UMNO. Mana-mana ceramah pilihan raya UMNO juga saya turut serta.
“Saya akan bantu UMNO (hadapi PRN) sekarang ini pun saya turun membantu sebab kita mahu menang. Sekarang ini apabila ramai yang lari (dari UMNO), saya masuklah UMNO balik,” katanya.
Mohd. Isa pada tahun 2018 mengumumkan keluar daripada UMNO atas alasan mahu bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson memandangkan UMNO pada ketika itu tidak meletakkan calon.
PRK tersebut dimenangi oleh calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menewaskan enam calon lain termasuk Mohd. Isa yang bertanding atas tiket Bebas.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, kehadiran bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi dan Bagan Pinang itu pastinya akan menguatkan lagi parti itu untuk menghadapi PRN.
“Saya memang mengharapkan pemimpin veteran UMNO seperti Tan Sri Mohd. Isa dan ramai lagi di Negeri Sembilan dapat bergerak sebagai satu pasukan dalam membantu UMNO dan Barisan Nasional (BN) menghadapi PRN akan datang.
“Pemimpin-pemimpin lama, bekas wakil rakyat, bekas ketua UMNO bahagian yang telah lama bersara dalam UMNO dan parti, saya akan jumpa dan buat libat urus supaya mereka boleh bantu parti,” katanya.-UTUSAN.