JOHOR BAHRU: Tindakan seorang wanita yang membuang air kecil di belakang kaunter Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) menjadi tular dalam media sosial.
Rakaman video berdurasi 23 saat memaparkan wanita tersebut telah membuang air kecil di belakang sebuah kaunter dan apabila ditegur, dia memakai kembali seluarnya dan mengatakan ‘sorry’ beberapa kali sebelum bergegas meninggalkan kawasan berkenaan.
Dalam pada itu Pengarah Imigresen negeri, Baharuddin Tahir berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti tarikh dan masa kejadian tersebut berlaku kerana tiada sebarang laporan dibuat setakat ini tentang perkara itu.
Menurutnya, tindakan tersebut memang salah dari sudut moral, apatah lagi dilakukan dalam sebuah bangunan kerajaan.
“Sekiranya individu tersebut sudah tidak dapat tahan untuk ke tandas, dia sepatutnya mendapatkan bantuan daripada pegawai atau anggota di lokasi yang boleh menunjukkan arah tandas awam.
“Sudah tentu dia akan dibantu, kerana pada akhirnya semua pihak terlibat adalah manusia biasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berkaitan isu tersebut.
“Jika ada laporan dibuat, kita akan siasat dan ambil tindakan ikut undang-undang. Patuhi peraturan dan jaga kesopanan, gunakan tandas yang disediakan di kawasan terbabit,” katanya.
Sebelum ini, pada 13 Jun tahun lalu, tular dalam media sosial memaparkan dua lelaki sedang membuang air kecil di bawah pokok di lokasi berhampiran Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Iskandar Puteri. – UTUSAN