Timbunan sampah di Pantai Bisikan Bayu dalam kawasan tanah persendirian - Dr. Izani

Timbunan sampah di Pantai Bisikan Bayu dalam kawasan tanah persendirian – Dr. Izani

DR. Izani Hussin.-UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menegaskan timbunan sampah sarap di Pantai Bisikan Bayu, Tok Bali dekat sini yang tular di dalam sosial pada Sabtu lalu itu melibatkan tanah persendirian dan bukan bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Izani Husin berkata, kebersihan di sekitar kawasan pantai di Tok Bali sentiasa terjaga kerana pihaknya telah melantik kontraktor  yang bertanggungjawab menjalankan rutin mengutip sampah.

Menurutnya, walaupun tanah di pantai berkenaan adalah milik persendirian, namun pihaknya sudah mengarahkan PBT untuk membersihkan kawasan itu.

“Di pantai itu ada dua kawasan yang mana kawasan di bawah seliaan PBT dan sebelahnya adalah tanah milik persendirian. Jadi kawasan yang telah tular di media sosial itu adalah tanah milik persendirian.

“Walaupun ia tanah milik persendirian, kita telah arahkan PBT untuk membersihkan kawasan berkenaan dan diharap semua pihak dapat bertanggungjawab menjaga kebersihan,” selepas diminta mengulas timbunan sampah yang mencemarkan imej di kawasan Pantai Bisikan Bayu sehingga tular di laman sosial semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Autisme Sedunia Peringkat Negeri Kelantan 2023 di Tunjong, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, penyampai radio jelita, Hunny Madu, menzahirkan rasa kecewa apabila melihat tahap kebersihan di Pantai Tok Bali, Kelantan yang disifatkannya sangat menyedihkan.

Hunny atau nama lengkapnya Hani Farhana Mohd Hatim, 39, terpaksa membatalkan niatnya untuk singgah dan membeli aiskrim di tepi pantai setelah melihat keadaan persekitaran tersebut.

Dr. Izani memberitahu, tindakan sesetengah pihak yang mengambil gambar dan tular di media sosial adalah satu perkara yang tidak adil kepada kerajaan negeri.

“Pada pukul 8 atau 9 pagi, memang tong sampah dipenuhi sampah kerana jentera kita bertugas untuk mengutip sampah bermula pukul 7.30 pagi hingga 2 petang.

“Tidak adil kepada kami (kerajaan negeri) apabila orang akan ambil gambar dan viral (tular) apabila ada sampah yang menampakkan Kelantan kotor,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Izani berharap semua pihak terutama rakyat supaya sama-sama menjaga kebersihan dengan tidak membuang sampah di merata-rata tempat.

Katanya, pembuangan sampah harian di seluruh Kelantan setiap hari adalah sekitar 1,200 tan sehari dan ia meningkat empat kali ganda ketika Ramadan serta Hari Raya Aidilfitri.

“Kita mahu kerjasama dari semua pihak samada kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, PBT serta rakyat untuk sama-sama menjaga kebersihan.

“Sampah ini ada di mana-mana bukan sahaja di Kelantan. Jadi, ambil dari sudut positif dan tidak perlulah kita bergaduh dan saling menuding jari,”katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya