KOTA TINGGI: Lagak mencurigakan tiga lelaki ketika berada berhampiran masjid di Gugusan Adela, di sini membawa kepada rampasan senjata api, senapang buatan sendiri dan dadah.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tiga lelaki berusia 33 hingga 39 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1 pagi tadi oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Daerah (IPD) Kota Tinggi.
Hasil pemeriksaan, pihaknya berjaya merampas sepucuk pistol jenama Beretta Gardone VT, selaras senapang patah buatan sendiri bersama tiga butir peluru penabur, sebilah pisau dan satu kelopak berisi empat butir peluru 9mm.
Menurutnya, turut dirampas satu plastik lutsinar disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 0.9 gram serta dua balutan aluminium disyaki dadah jenis Eramin 5 anggaran berat 0.44 gram.
Dipandu salah seorang suspek ke sebuah rumah di Felda Tunggal, pihaknya telah menjumpai dua laras senapang angin buatan sendiri, satu butir peluru penabur, tiga kelongsong peluru penabur dan 10 biji guli.
“Apa yg menarik dalam kes ini berlaku di sebuah kawasan Felda. Kita juga siasat dari segi penggunaan senjata api tiruan ini dalam tujuan memburu atau sebagainya dan yang menjadi satu fokus utama pihak polis dan Jabatan Perhilitan untuk pastikan tiada pemburu haram, kita akan siasat ke arah demikian.
“Begitu juga pistol kemungkinan juga digunakan dalam siri pecah rumah dan samun sebagainya untuk siasatan awal. Pistol kalau lihat fizikal pistol original, tiga laras senjata api dirampas pula kita dapati buatan sendiri.
“Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk dikehendaki serta kesalahan jenayah dan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Kota Tinggi hari ini.
Kesemua suspek yang turut positif dadah kini ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960, Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958.
Bagi kesalahan dadah, disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1962 dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN