JOHOR BAHRU: Polis menahan tiga lagi suspek yang disyaki terlibat dalam pergaduhan di kawasan Tampoi, di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pergaduhan pada pukul 11.40 malam itu dipercayai berlaku rentetan pergaduhan yang membabitkan pelajar sekolah di Kempas, di sini Rabu lalu.
Setakat ini, pihaknya telah menahan 12 suspek berusia 17 hingga 35 tahun termasuk beberapa pelajar bagi membantu siasatan.
“Selepas kejadian pergaduhan yang berlaku di hadapan sebuah sekolah, Rabu lalu, pihak polis telah mengadakan pertemuan dengan ketua masyarakat serta penduduk setempat bagi menuetralkan keadaan yang tegang itu. Namun, selang tiga hari kemudian, ada beberapa pihak yang mengambil kesempatan mengeruhkan keadaan apabila menyerang seorang lelaki dalam kejadian di kawasan Tampoi.
“Mereka ini tidak mempunyai kaitan dengan kes tersebut. Hasil siasatan yang dibuat, kita telah menahan tiga individu lagi termasuk seorang lelaki berusia 35 tahun yang mempunyai banyak rekod jenayah lampau,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis Johor di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Khamis lalu, media melaporkan beberapa pelajar mengalami kecederaan parah selepas terlibat dalam pergaduhan di hadapan sebuah sekolah menengah di kawasan Kempas dipercayai berpunca akibat tidak puas hati dibaling dengan pemadam.
Dalam kejadian pukul 3.43 petang itu, pergaduhan yang tercetus itu menyebabkan beberapa pelajar sekolah terbabit mengalami kecederaan luka di kepala serta lebam di bahagian kaki dan tangan.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman mengingatkan orang ramai serta masyarakat setempat supaya tidak mengapi-apikan lagi kejadian itu dengan penyebaran mesej bertujuan meniup api kemarahan dengan mengaitkannya dengan isu perkauman.
“Saya terima banyak mesej yang cuba apikan keadaan, ini kerana situasi di Kempas dan Tampoi tenang sahaja. Jangan pula percaya pada mesej yang cuba meniup api kemarahan, membangkit perasaan marah antara kaum.
“Polis beri jaminan bahawa dalang dalam kes ini akan dikenakan tindakan tegas. Perkara ini tak perlu dibesarkan kerana berpunca daripada pergaduhan pelajar sekolah sahaja,” katanya sambil menafikan kemungkinan pergaduhan tersebut membabitkan ahli kongsi gelap. – UTUSAN