Formula baharu tugasan pintu masuk antarabangsa BSI

Tiada tukar syif Imigresen elak kesesakan di Kompleks Sultan Abu Bakar

RUSLIN Jusoh (dua dari kiri) melihat proses pengimbasan pasport dan cap jari penunggang motosikal di kaunter M Bike ketika melakukan lawatan di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan memperkenalkan formula baharu penugasan di pintu masuk antarabangsa laluan darat di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah bagi memastikan semua kaunter beroperasi dan tidak lagi berlaku kelewatan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, formula itu antara lain membabitkan pertukaran syif tidak berlaku ketika waktu puncak sehingga menyebabkan berlaku kesesakan.

Katanya, dengan cara itu, penukaran syif dapat dibuat dengan lancar dan pengembara tidak perlu menunggu lama sehingga kaunter dibuka semula. 

“Isu berbangkit di dua pintu masuk di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) BSI dan KSAB) di Gelang Patah adalah isu pertukaran syif kakitangan Imigresen pada pukul 7 pagi iaitu ketika waktu puncak.

“Kita akui pada ketika itu adalah waktu kritikal setelah waktu puncak adalah antara pukul 5 hingga 8 pagi. Walaupun pertukaran syif itu hanya membabitkan beberapa minit sahaja, ia boleh menyebabkan pengembara terpaksa menunggu lama.

“Justeru, kita sedang meneliti formula baharu pertukaran syif pukul 7 pagi ini termasuk memperkenalkan formula baharu syif ditukar di luar waktu puncak. Insya Allah, formula baharu ini akan diumumkan minggu hadapan,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau keadaan trafik di CIQ BSI, di sini, pagi tadi.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri, Mohamad Fazli Salleh.

Sebelum ini, perkara itu turut dibangkitkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi beberapa tinjauan yang dilakukan di kawasan tersebut.

Hasil tinjauan yang dilakukan, kaunter yang tidak dibuka sepenuhnya serta pertukaran syif menjadi punca berlaku kesesakan di pintu masuk antarabangsa Johor Bahru-Singapura itu.

Mengulas lanjut, Ruslin memberitahu, bagi memastikan 100 peratus kaunter di BSI CIQ dibuka pada waktu puncak, JIM turut menempatkan sebanyak 20 pasukan tindakan pantas (QRT Team) bagi membolehkan penggantian kakitangan dan pembukaan kaunter dilakukan secara efisyen.

“Selain itu, kita turut menambah perkhidmatan 20 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di CIQ BSI bagi membantu dan menyegerakan penyuraian trafik di Tambak Johor bagi mengelakkan berlakunya kesesakan ,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya