KUANTAN: Tiada penggunaan logo UMNO mahupun DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri sebaliknya hanya logo Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) yang akan digunakan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, di peringkat BN dan PH, masing-masing saling memberikan kepercayaan bahawa setiap calon yang diketengahkan sudah pasti akan membawa kejayaan kelak.
“Tidak ada logo UMNO mahupun DAP. Yang ada sama ada BN atau PH.
“Jadi janganlah kita mudah terperangkap dengan dakyah yang sekadar untuk mengelirukan ahli serta pendokong dan penyokong yang lain,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar mengingatkan ahli parti itu agar tidak mudah terperangkap dengan mainan politik pihak tertentu yang cuba mengucar-kacirkan kestabilan kerajaan Perpaduan hari ini.
“Ingin saya tegaskan, bukankah calon yang akan bertanding dalam PRN di enam negeri nanti sama ada calon-calon yang mewakili BN, PH serta rakan gabungan yang lain.
“Sama ada calon daripada parti
mana sekalipun sudah tentu mereka akan bertanding atas kapasiti PH dan sebagainya lagi. Jadi, tidak timbul soal undi DAP atau mana-mana parti politik tertentu dalam PRN nanti.
“Sebenarnya ada pihak tidak bertanggungjawab cuba memainkan persepsi dan mengelirukan rakyat semata-mata. Hari ini kita bersama dalam kerajaan Perpaduan seperti mana yang umum tahu pasca pilihan raya umum (PRU) lalu…jadi soal kestabilan ini cukup penting dan sudah pasti kita mahu kerajaan negeri dan pusat selari,” katanya.
Atas dasar itu tambah beliau, mana-mana calon PH atau BN sudah pasti ini yang akan dipilih dalam usaha memastikan kesinambungan serta kestabilan dapat dijayakan.
“Ini adalah percaturan politik, kalau kita mahu lihat kemenangan dan kerajaan Perpaduan dapat diselaraskan di peringkat negeri, kita perlulah undi parti-parti yang ada dalam kerajaan Perpaduan hari ini,” katanya. – UTUSAN