Tiada dokumen diri: JPN bantu Muhammad Yusri peroleh sijil lahir - Utusan Malaysia

Tiada dokumen diri: JPN bantu Muhammad Yusri peroleh sijil lahir

ZAMRI Misman (dua dari kanan) menyerahkan sijil kelahiran Muhammad Yusri (tengah) kepada Sabariah (kiri) di Taman Desa Permai, Port Dickson hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Hasrat seorang kanak-kanak berumur lapan tahun untuk bersekolah seperti kanak-kanak lain seusianya tercapai selepas dia menerima sijil kelahiran hari ini.

Ia selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyerahkan sijil kelahiran bukan warganegara itu kepada Muhammad Yusri Osman, 8, yang dilaporkan sebelum ini tidak dapat dapat bersekolah kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Perkara tersebut selepas kelahiran kanak-kanak itu tidak didaftarkan dan perkahwinan ibu bapa kandungnya tidak pula didaftarkan mengikut undang-undang negara ini malah lebih malang kedua-dua orang tuanya itu juga sudah meninggal dunia.

Ketua Pengarah JPN, Zamri Misman berkata, ekoran kisah tersebut, pihaknya telah mengambil tindakan proaktif dengan membantu untuk mendaftarkan kelahiran Muhammad Yusri.

“JPN telah bertindak menghubungi waris-waris arwah bapa Muhammad Yusri untuk membantu mendaftarkan kelahirannya. Akhirnya berdasarkan keterangan temuduga saksi-saksi yang berkenaan dan kemudiannya Panel Jawatankuasa Permohonan Daftar Lewat Kelahiran JPN telah meluluskan pendaftaran kelahirannya.

“Sijil Kelahiran (Daftar Lewat Kelahiran) bukan warganegara telah dikeluarkan dan diserahkan kepada Muhammad Yusri hari ini,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan dokumen tersebut kepada kanak-kanak itu di rumah keluarganya di Taman Desa Permai di sini.

Dalam pada itu, jelas Zamri, walaupun sijil kelahiran itu berstatus bukan warganegara disebabkan arwah ibu Muhammad Yusri merupakan warganegara Indonesia, sekurang-kurangnya kanak-kanak tersebut kini mempunyai dokumen peribadi yang boleh digunakan untuk semua urusan selepas ini.

“Selepas ini proses seterusnya, saya memohon kepada penjaga Muhammad Yusri untuk buat proses pengangkatan anak dan berikutnya juga memohon proses kewarganegaraan untuknya, itu tindakan yang perlu dilakukan oleh pihak keluarga,” katanya lagi.

SABARIAH Ahmad bersama cucunya Muhammad Yusri yang telah menerima sijil kelahiran daripada JPN di Taman Desa Permai, Port Dickson hari ini.

Sementara itu, nenek Muhammad Yusri, Sabariah Ahmad, 69, berkata, dia bersyukur apabila cucunya itu kini mempunyai dokumen pengenalan diri yang membolehkan kanak-kanak itu mendapat pendidikan sebaik mungkin.

“Apabila proses ini diselesaikan, saya tentu seronok dan lega apabila selepas ini Muhammad Yusri dapat ke sekolah, itu yang kami harapkan. Cucu-cucu saya lain semua sudah bersekolah, hanya dia sahaja, sebelum ini dia hanya dihantar ke pusat tuisyen sahaja.

“Muhammad Fitri ada bertanya bila dia mahu ke sekolah tetapi arwah bapanya hanya memberitahu supaya tunggu sahaja. Kesilapan ibu bapanya itu tidak perlulah kita cakap lagi, tetapi kini saya berterima kasih kepada semua pihak yang tampil membantu, kami hanya mahu dia mendapatkan pendidikan sama seperti kanak-kanak yang lain, ini demi masa depan dia juga,” katanya.

Sabariah memberitahu, anak sulungnya yang juga bapa Muhammad Yusri iaitu Osman Jaffar, 49, meninggal dunia pada 12 April lalu kerana sakit jantung.

Dalam pada itu, Zamri memberitahu, sebanyak 10,245 permohonan Daftar Lewat Kelahiran telah diluluskan oleh pihak JPN daripada sebanyak 14,557 permohonan yang diterima sepanjang tahun lalu sehingga bulan April ini.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya